Skip to main content

Lawatan Kerja Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Ke Dewan Negeri Perak.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika sesi perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai cabaran dalam pengurusan sidang DUN Perak.

IPOH, 5 Ogos 2024- Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul telah mengadakan lawatan kerja ke Dewan Negeri Perak bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara Parlimen Malaysia dan Dewan Negeri Perak dalam memperkasakan institusi pengubalan undang-undang itu.

Ketibaan beliau bersama delegasi telah disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohamad Zahir bin Abdul Khalid; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Jenny Choy Tsi Jen; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman serta YBrs. Setiausaha Bahagian, Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Encik Abdul Majid bin Abdul Rahim.

Sebelum memulakan siri lawatan tersebut, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar, di sini.

Seterusnya, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul serta delegasi dibawa ke Bilik Gerakan Negeri bagi sesi perbincangan serta pertukaran pandangan mengenai cabaran dalam pengurusan sidang dewan negeri bagi memperkasakan institusi legislatif negara.

Selesai sesi tersebut, beliau bersama delegasi dibawa melawat ke Dewan Negeri Perak bagi melihat keadaan dewan persidangan itu.

Hadir sama, YBhg. Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Hj. Muhamad Zamani bin Mohd Ali; YBrs. Setiausaha Dewan Rakyat, Encik Nizam Mydin bin Bacha Mydin; YBrs. Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Encik Ahmad Farhan bin Mohd Khalid serta pegawai-pegawai kanan PARLIMEN Malaysia.

Dalam perkembangan sama, negeri Perak merupakan negeri ketiga bagi siri lawatan kerja YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul ke Dewan Undangan Negeri Semenanjung Malaysia selepas negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Siri lawatan tersebut merupakan platform terbaik serta persediaan awal dalam menyambut Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024 yang akan diadakan pada September nanti di negeri Sarawak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.