YB SUK Rasmi Mesyuarat Agung Tahunan Pptd Cawangan Perak Kali Ke-1 Tahun 2024.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika menyampaikan ucapan perasmian.
IPOH, 6 Ogos 2024 - YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim hadir bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak Kali Pertama Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi PPTD Cawangan Perak, berkata dalam ucapannya bahawa menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah satu amanah besar kerana kita memegang jawatan penting di jabatan dan berperanan dalam pembuatan dasar dan keputusan.
“Sebagai penggerak utama dalam organisasi atau jabatan, kita perlu menyambut dan meneruskan usaha Kerajaan Persekutuan dan Negeri dengan amanah untuk memastikan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) terus mantap dan mengekalkan imej perkhidmatan utama.
“Pegawai-pegawai kanan PTD adalah teladan bagi pegawai-pegawai muda dan harus menunjukkan disiplin tinggi, tenang dalam membuat keputusan, empati dalam mendengar maklum balas, serta integriti dan pandangan jauh dalam menjalankan tugas dan amanah,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Hadir sama dalam majlis tersebut, YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin; YBhg. Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Dato’ Shamshuzaman Bin Sulaiman; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Nor Sham binti Rahman; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutan serta para pegawai (PTD) negeri Perak.
Ujar Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim lagi, sebagai seorang PTD kita perlu berfikiran terbuka, positif, dan sedia menerima teguran untuk memperbaiki diri.
“Kita juga harus memiliki sifat tawaduk, yang bermaksud merendahkan diri, tidak angkuh atau tamak, serta bekerja dengan penuh khusyuk dan setia dalam menjalankan tugas.
“Saya menyeru kepada semua PTD untuk melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan integriti, supaya skim kita tidak dipandang serong dan terus mendapat kepercayaan dalam menggalas tanggung jawab penting dan strategik dalam pentadbiran negeri dan negara.
Dalam perkembangsan sama, sebelum ini semua Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik di setiap negeri disatukan melalui pertubuhan mengikut Wilayah/Zon, di mana negeri Perak bernaung di bawah PPTD Cawangan Utara yang melibatkan empat negeri: Perak, Kedah, Pulau Pinang, dan Perlis.
Namun, pada September 2022, Jawatankuasa Kerja PPTD Sesi 2022-2024 telah bersetuju membubarkan PPTD Wilayah Utara dan menubuhkan PPTD Cawangan Negeri. Penubuhan ini bertujuan untuk memberikan khidmat yang lebih fokus dan bersasar kepada semua ahli PPTD di setiap negeri.
Sumber : Korporat, SUK Perak.