Skip to main content

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Pelancaran Rumah Harapan NCSM-CARITAS.

Baginda berkenan menandatangani plak perasmian

IPOH, 8 Ogos 2024 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pelancaran Rumah Harapan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)-CARITAS dan Program Jelajah Human Papilloma Virus (HPV) Bersama DYMM Raja Permaisuri Perak di Kampung Simee.

Menurut Pengarah Urusan NCSM, Dr. Murallitharan Munisamy, sejak Februari lalu, NCSM telah berjaya membantu lebih 70,000 orang rakyat Malaysia mendapat perlindungan HPV.

“NCSM dengan kerjasama sukarelawan, kerajaan negeri dan pertubuhan-pertubuhan lain telah menelusuri pelbagai kawasan pedalaman di negeri Perak, Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak untuk membantu wanita mendapatkan imunisasi HPV bagi mencegah kanser serviks.

“NCSM turut berjaya membantu 27,500 orang wanita kurang berkemampuan di semenanjung Malaysia melalui Pelancaran Fasa-6 Program Mamogram Percuma Etiqa Bersama NCSM,” jelasnya.

Tambahnya lagi, Rumah Harapan NCSM-CARITAS yang dilancarkan hari ini adalah rumah penginapan sementara bagi pesakit kanser yang kurang berkemampuan.

“Sejak mula beroperasi pada tahun 2023, Rumah Harapan NCSM Perak ini telah memberi kemudahan kepada pesakit kanser dan ahli keluarga untuk tinggal secara percuma dan selesa ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Antara perkhidmatan lain adalah pengangkutan, khidmat kaunseling psikologi dan pemakanan kepada pesakit dewasa mahupun kanak-kanak,” ujarnya ketika menyampaikan sembah ucapannya.

Hadir sama, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak, YABhg. Datin Aezer binti Zubin; isteri kepada YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak; YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah, isteri kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YBhg. Datin Che Fuziah binti Ahmad; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Salbiah binti Mohamed; YBhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja, Dato' Abdul Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan; YBrs. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan bin Mustapha; YBhg. Presiden NCSM, Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram dan The Titular Roman Catholic Bishop of Penang, YBhg. Cardinal Dato' Seri Sebastian Francis.

Seterusnya, baginda berkenan mengadakan lawatan ramah mesra bersama pelajar Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.