Daerah Kuala Kangsar Lokasi Ke-6 Program Mesra HBP Kerajaan Negeri Perak 2024.

YAB Menteri Besar Perak ketika mendengar aduan dari pelanggan yang hadir.
KUALA KANGSAR, 12 Ogos 2024 - Daerah Kuala Kangsar menjadi lokasi keenam bagi Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) tahun 2024, yang bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk bertemu dengan barisan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak serta ketua jabatan negeri dan daerah bagi menyelesaikan aduan mereka.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, pada siri kali ini sebanyak 69 kaunter aduan telah dibuka, melibatkan kesemua portfolio Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan, termasuk Pegawai Daerah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran.
“Pada hari ini, sebanyak 177 aduan telah diterima daripada penduduk Daerah Kuala Kangsar dan Kerajaan Negeri memandang serius setiap isu yang dibangkitkan dan beriltizam untuk menanganinya dengan teliti.
“Kita komited untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh yang munasabah, dengan mengambil kira tahap kerumitan dan keperluan sumber yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Tahun 2024 Siri Ke-6 di Dewan Jubli Perak, di sini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin serta YBrs. Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Encik Muhammad Nazri bin Abdullah.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad lagi, sehingga Siri 5, daripada 998 aduan yang diterima, 957 (96%) telah berjaya diselesaikan, manakala 41 (4%) masih dalam tindakan.
“Berdasarkan data tersebut, kadar penyelesaian aduan menunjukkan peningkatan berbanding siri terdahulu yang mencatatkan 89%.
“Saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak serta jabatan-jabatan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyelesaikan aduan rakyat," ujarnya lagi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.