SUKMA XXI Sarawak Labuhkan Tirai, Perak Capai Sasaran.

YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan.
KUCHING, 24 Ogos 2024 - Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak telah melabuhkan tirainya selepas 14 hari berlangsung dengan penuh persaingan hebat.
Obor temasya yang dinyalakan pada Sabtu lalu secara rasminya telah dipadamkan malam tadi menerusi satu upacara penutup yang penuh gilang gemilang di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim dengan disertai lebih 12,000 atlet dan pegawai.
Hadir sama YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Hj. Fadillah bin Yusof; YAB Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Hj. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Hj. Abang Openg; YB Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh; YBhg.Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato' Sri Hj. Abdul Karim Rahman; YAB Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin bin Shari.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim merangkap Chef de Mission Kontinjen Perak; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Encik Khairudin bin Abu Hanipah; YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching serta YBrs. Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Tuan Hj. Mazlan bin Mohamad.
Majlis Penutup SUKMA XXI Sarawak dimulakan dengan perarakan masuk 14 kontinjen negeri yang bertanding serta kontinjen jemputan Brunei dengan didahului oleh kontinjen Jalur gemilang dari Batalion ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja dan Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia.
Sebaik obor temasya dipadam dan bendera kejohanan diturunkan, sesi penyerahan bendera dilakukan secara simbolik oleh YAB Tan Sri Datuk Patinggi Hj. Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Hj. Abang Openg kepada YAB Dato' Seri Amirudin bin Shaari bagi meneruskan edisi SUKMA ke-22 pada 2026 di negeri Selangor.
Pada aksi temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu, Kontinjen Negeri Perak berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas yang telah ditetapkan dan sekaligus meletakkan mereka di kedudukan ketujuh dibelakang Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Johor.
Selain 35 pingat emas, Kontinjen Negeri Perak juga berjaya meraih 37 pingat perak dan 56 pingat gangsa dengan jumlah keseluruhan sebanyak 128 pingat.
Pingat emas Kontinjen Negeri Perak berjaya diperoleh menerusi acara sukan yang disasarkan seperti pencak silat, muay thai, hoki dan kriket.
Dalam perkembangan sama, SUKMA XXI Sarawak melibatkan 37 jenis sukan melalui 488 acara yang terdiri dari 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran.
Sumber : Korporat, SUK Perak.