DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara Sempena Bulan Kebangsaan 2024.

Baginda berdua berkenan bergambar bersama para pelajar yang membuat persembahan.
IPOH, 25 Ogos 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara Sempena Bulan Kemerdekaan 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang DiPertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin serta barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YABhg. Ahli Dewan Negara Negeri Perak, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini dan YBhg. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson.
Program yang menyasarkan murid-murid sekolah di negeri Perak ini bertujuan untuk membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai identiti nasional dengan pemahaman dan penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Bagi mencapai objektif tersebut, pelbagai pertandingan telah dirangka antaranya pertandingan pidato diraja, menulis esei bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, mengarang sajak, melukis karikatur, melukis poster, bicara berirama dan Choral Speaking.
Di majlis berkenaan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Atas yang dimenangi oleh Teoh Yu Shan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping.
Muhammad Qawiem Athif bin Yuzaidi dari Kolej Melayu Kuala Kangsar pula mengungguli Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas.
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Choral Speaking Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh, dan johan Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Menengah, SMK Malim Nawar.
Baginda juga berkenan menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Melukis Karikatur (Kategori Sekolah Menengah).
Sementara itu, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Menulis Esei Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Atas, Ong Yu Sin dari SMK Convent Ipoh.
Muhammad Shafiq Hakimi bin Mohd Nor Shafarin dari SMK Tengku Menteri pula mengungguli Pertandingan Menulis Esei Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas.
Selain itu, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan hadiah untuk Pertandingan Mengarang Sajak (Kategori Sekolah Menengah) dan Pertandingan Melukis Poster (Kategori Sekolah Rendah).
Sumber : Korporat, SUK Perak.