Projek RMK-12 NCER Pacu Ekosistem Pelancongan Di Perak.

YAB Menteri Besar Perak ketika mempengerusikan Majlis Apresiasi Pembangunan Ekosistem Pelancongan Negeri Perak.
IPOH, 3 September 2024 – Projek pembangunan sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Perak berada di landasan tepat bagi memacu ekosistem pelancongan mampan menjelang 2025.
Sejumlah RM61.2 juta telah diperuntukkan NCIA bagi melaksanakan empat projek utama dalam sektor pelancongan Perak dan dua daripada projek tersebut telah berjaya disiapkan sepenuhnya.
Pelaksanaan projek itu bakal membawa impak positif bagi merancakkan industri pelancongan negeri serta mewujudkan pelbagai peluang ekonomi baharu untuk masyarakat setempat.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, projek yang telah disiapkan ialah pembangunan semula pusat pelancongan Taman Eko-Rimba Lata Kinjang dan projek infrastruktur Pelancongan Warisan Ipoh yang telah menyokong aspirasi Tahun Melawat Perak 2024.
“Dua lagi projek pembangunan strategik yang sedang dalam fasa pelaksanaan adalah Pembangunan Trail Pelancongan di Pengkalan Hulu dan Pembangunan Pelancongan Arkeologi Lembah Lenggong yang merupakan salah sebuah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kedua-dua projek baharu ini akan memangkin daya tarikan dan melengkapi pakej pelancongan di Perak di peta dunia bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara selaras dengan salah satu program flagship iaitu Ekonomi Pengalaman di bawah Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pembangunan Ekosistem Pelancongan Negeri Perak di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YBrs.Ketua Eksekutif NCIA, Encik Mohamad Haris bin Kader Sultan dan YBrs. Ketua Pegawai Operasi NCIA, Encik Hasri bin A. Hassan.
Sementara itu, menyentuh mengenai potensi baharu untuk sektor ekonomi di Perak, YBrs. Encik Mohamad Haris bin Kader Sultan, berkata NCIA ketika ini sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan Hab Agro Makanan NCER di Perak yang dipacu oleh kerjasama pelaburan awam swasta.
“Projek ini akan menjadikan Perak sebagai hab agro makanan yang kondusif, inovatif, berdaya maju serta mampan yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara selain membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER.
“Hab Agro Makanan NCER ini berpotensi menyumbang sebanyak RM500 juta kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak dan meningkatkan pendapatan petani tempatan sehingga 25 peratus hasil adaptasi teknologi pertanian moden,” katanya
Sumber : Korporat, SUK Perak.