Skip to main content

Program Bantuan Makanan Percuma TCS Masuki Tahun Keempat, Peruntukkan Ditingkatkan Kepada RM3.42 Juta

YAB Menteri Besar Perak ketika sesi sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam Tuisyen Cikgu Saarani 2024

IPOH, 30 Oktober 2024 - Kerajaan Negeri Perak meneruskan Program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi tahun keempat dengan peruntukan sebanyak RM3.42 juta berbanding RM2.67 juta pada tahun lalu.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, ia merupakan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk terus menyokong meningkatkan prestasi akademik pelajar di negeri ini.

“Program ini menyasarkan 27,432 pelajar yang terdiri daripada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan pelajar Kolej Vokasional di seluruh negeri Perak.

“Pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengah hari bernilai RM5 setiap hari, bagi memastikan mereka lebih fokus dan bersemangat untuk hadir ke kelas tambahan, serta lebih bersedia menghadapi peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam Tuisyen Cikgu Saarani 2024, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri , Encik Khairudin bin Abu Hanipah; YBrs. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Encik Safuan bin Hj. Raba'ai; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Dato' Hj. Yahanis bin Yahya; YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak;

Turut hadir, YBrs. Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Encik Ir. Lokman bin Abdul Rahim; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MB inc), Encik Anuar bin Zainal Abidin; YBrs. Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Encik Zulkefli bin Abdullah serta YBrs. Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum bin Nawab Khan.

Ujar YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad lagi, Dana program ini disumbangkan oleh lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama.

"Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), masing-masing RM1 juta, Perbadanan Menteri Besar (MBInc) (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) (RM500,000), dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM220,000.

"Dana terkumpul ini akan disalurkan melalui Pejabat Kewangan Negeri kepada Yayasan Perak, yang akan menyelaras agihan bantuan makanan ke sekolah-sekolah yang terlibat dengan kerjasama JPN dan dipantau oleh Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri.

Dalam perkembangan sama, selain memberi impak positif kepada pencapaian akademik, program ini juga meringankan beban kewangan ibu bapa, menyediakan nutrisi yang diperlukan pelajar, dan memperkukuhkan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Ibu Bapa Kolej Vokasional (PIBKS) dalam menyokong kejayaan pelajar di negeri ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.