Skip to main content

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Dahului Senarai Nama 213 Orang Penerima Darjah Kebesaran Dan Pingat Negeri Perak

YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) melakukan pengumuman tersebut bersama YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim

IPOH, 1 November 2024 - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad mendahului senarai 213 orang penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Beliau yang dilantik sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 10 Januari 2011, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Turut dikurniakan darjah yang sama adalah Ketua Audit Negara; YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation; YBhg. Dato’ Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Ia diikuti oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; YBhg. Dato’ Nor Azmie bin Diron menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato’.

Sementara itu, bagi Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Dato’ diberikan kepada 8 penerima.

Antara penerima DPMP adalah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Prof. Datuk Dr. Md Amin bin Md Taff; Leader Writer, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Encik Abdul Rahim bin Mydin; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Encik Harith Fadzilah bin Abdul Halim; Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun, YBrs. Dr. Philip Rajan A/L Devesahayam; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Puan Salasiah binti Abdul Wahab; Pengerusi Lembaga Penasihat, Jabatan Perdana Menteri, Puan Yong Zarida binti Sazali; Duta Besar Malaysia ke The Hague Belanda, Ambassador Roseli bin Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar (MBInc.), Encik Anuar bin Zainal Abidin.

Selain itu, enam menerima Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Dato’ Pahlawan, iaitu Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, YDH. CP Dato’ Sri Mohd Yusri bin Hassan Basri; Pengarah Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, YDH. CP Dato' Sri Mohd Khalid bin Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak, SAC Ng Kong Soon; Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Markas Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Thevendran A/L Cs Maniam; Pakar Obstetrik & Ginekologi, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Markas Angkatan Tentera, Brig. Jen. Dr. Sharifah Sofiah binti Syed Zainol Abidin dan Panglima Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Laksamana Muda Farizal bin Myeor.

Di samping itu, 13 penerima dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 28 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 14 penerima.

Sementara Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 39 penerima dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 61 penerima.

Menurut YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), baginda turut berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 30 menerima antaranya atlet boling padang negara, Encik Izzat Shameer bin Dzulkeple dan Puan Aleena binti Ahmad Nawawi; atlet Muay Thai negara, Puan Nur Amisha binti Azril Rizal serta pemain sepak takraw negara, Encik Meor Mohamad Zulfikar bin Mat Amin.

Selain itu, Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) dianugerahkan kepada 10 penerima.

Tambahnya lagi, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan secara dua sesi.

Beliau berkata kedua-dua sesi istiadat iaitu yang pertama pada 9 November dan kedua dijadualkan 16 November ini, akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Malah, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat yang akan diadakan di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, hari ini pada waktu solat Jumaat.

Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing, katanya.

Selain itu, baginda turut berkenan membiayai hidangan makanan kepada 7,800 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan penjara negeri Perak (Kinta dan Taiping), yang akan diagihkan hari ini.

Rakyat Perak juga diseru untuk bersama-sama meraikan dan menyemarakkan sambutan dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan-bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, YDH. Toh Amar Seri Diraja, Dato' Seri Ayop bin Hashim dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 02 Mei 2025, 00:51:03.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.