Skip to main content

Jabatan Audit Negara Naik Taraf 10 Projek Kampung Angkat Madani.

YB Dato' Mohd Zolkafly bin Harun sebagai mewakili YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan aluan.

LARUT, 3 November 2024 - Jabatan Audit Negara (JAN) telah menaik taraf 10 projek di Kampung Masjid Ijok sebagai Kampung Angkat MADANI ke-2 di Perak.

Projek tersebut telah dimulakan pada awal Ogos 2024 dan disiapkan sepenuhnya pada akhir Oktober 2024.

Menurut Ketua Audit Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, keputusan menaik taraf 10 projek tersebut adalah atas hasil kerjasama Jawatankuasa Kampung Angkat MADANI, Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran Larut Matang dan Selama yang membabitkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

“Antara projek yang telah dilaksanakan adalah menaik taraf jalan dan longkang di Jalan Wan Jaafar serta penyelengaraan sistem saliran dan Sungai Ijok bagi menangani masalah banjir yang turut membabitkan kawasan berdekatan.

“Seterusnya adalah projek menaik taraf gelanggang futsal dan alatan taman permainan kepada yang lebih selesa dan berbumbung.

“Selain itu adalah projek pembinaan dewan terbuka dan penyelengaraan pagar di Sekolah Kebangsaan Haji Wan Jaafar untuk dimanfaatkan oleh 198 pelajar tahun satu hingga tahun enam, 21 pelajar dibawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan 11 murid pra-sekolah serta para guru untuk menjalani aktiviti luar bilik darjah atau perhimpunan sekolah.

“Kemudiannya adalah projek pemasangan lampu solar dan pembaikan fasiliti kawasan sekitar serta kerja menaik taraf Gerai Pembangunan Luar Bandar (PLB) dan Arena Square yang dapat memberi “nafas baru” buat golongan peniaga untuk berniaga dalam suasana yang kondusif dan selesa.

“Terakhir adalah projek penyelenggaraan Masjid Toh Paduka untuk memberi keselesaan kepada jemaah dan kariah masjid untuk beribadah,” jelasnya.

Tambahnya lagi, beliau amat menyokong aktiviti Community Based Tourism yang diselaraskan oleh Majlis Daerah Selama dan Pejabat Daerah dan Tanah Selama bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus memajukan ekonomi setempat.

“Saya difahamkan, daerah Selama semakin terkenal sebagai destinasi ekopelancongan apabila 7 Lata di sini diangkat sebagai Ikon ke-12 negeri Perak pada tahun 2021. Secara kebetulan, Kampung Masjid Ijok ini terletak antara laluan ke dua daripada tujuh lata tersebut iaitu Lata Puteh dan Lata Titi Dua. Semalam, saya juga berkesempatan ke sana dan ke Lata Tebing Tinggi, Kampung Ulu Mengkuang yang tidak jauh dari sini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI, di sini.

Hadir sama, Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, YABhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato’ Seri Haji Wan Mohd. Isa bin Dato’ Haji Wan Mohd. Razalli; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan industri Makanan, Dato' Mohd Zolkafly bin Harun mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 02 Mei 2025, 00:51:03.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.