DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Sertai LHKSNS 2024.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyertai larian bagi kategori tetamu kenamaan
KUALA KANGSAR, 10 November 2024 -DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2024 di Dataran Pavilion, di sini, pagi ini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan puteri baginda, YTM Raja Nazira Safya binti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Berangkat sama, adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer binti Zubin; Yang di-Pertua Dewan Negeri, YB Dato' Mohd Zahir bin Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.
Acara larian yang dianjurkan sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang disambut pada 1 November lepas, menyaksikan penyertaan lebih 12,000 orang.
LHKSNS bermula seawal jam 6.50 pagi dengan pelepasan 5,579 peserta larian bagi kategori 15 kilometer (km) yang disempurnakan oleh baginda tuanku.
Baginda turut berkenan melepaskan peserta larian bagi kategori 10 km melibatkan 4,623 peserta dan 1,418 peserta bagi kategori 7 km.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan kemudian berkenan bersama tetamu kehormat yang lain menyertai acara kategori tetamu kenamaan (VIP) yang disempurnakan pelepasannya oleh adinda baginda, YTM Raja Dato' Seri Yong Sofia binti Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Usai acara tersebut baginda berdua berkenan menyaksikan pelbagai persembahan yang disajikan pada LHKSNS antaranya persembahan pancaragam daripada pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan SMK Clifford; persembahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pelbagai persembahan kebudayaan meliputi pelbagai bangsa.
Sebelum berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan berkenan menyempurnakan majlis penyerahan hadiah kepada para pemenang yang berjaya menampilkan aksi pantas bagi setiap kategori pada LHKSNS tahun ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.