Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2024.

Baginda berdua berkenan menyampaikan sumbangan kepada 67 orang anak yatim di majlis berkenaan

IPOH, 23 November 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2024 di Stadium Indera Mulia.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin dan barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Ahli-Ahli Dewan Negara Perak; Ahli-Ahli Dewan Negeri Perak; Orang-Orang Besar Jajahan serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad dalam sembah ucapannya berkata, sempena meraikan pesta cahaya ini, sama-samalah kita mengukuhkan tekad dan azam untuk menyuburkan nilai-nilai kebaikan demi mengatasi kejahatan.

"Sebagai warga yang cintakan keamanan dan keharmonian, kita tidak boleh membiarkan negara dan negeri yang kita cintai ini dibinasakan dengan anasir yang memecahbelahkan.

"Marilah kita sederap dan senada, menyuburkan nilai-nilai kebaikan dengan menggembleng usaha membina perpaduan.

"Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk sama-sama membina kerukunan, selain berusaha mengeratkan persefahaman dan mengukuhkan persaudaraan,” katanya.

Pada majlis itu, baginda berdua berkenan menyampaikan sumbangan kepada 67 orang anak yatim daripada Pertubuhan Penjagaan 1 Malaysia Perak, Pusat Jagaan Gembala Baik, Pusat Jagaan Vision Home, Pusat Jagaan Pelangi Perak dan Yayasan Amanah An-Nur Maisarah.

Dalam perkembangan sama, dianggarkan lebih 8,000 orang pengunjung dari pelbagai kaum telah hadir memeriahkan majlis sambutan tersebut di samping menikmati pelbagai juadah yang disediakan antaranya Pasembor, Teh Susu Lembu, Tosai, Muruku, Idiyappam, Kolukattai dan Kuih Beras Kukus.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.