Program Sinergi Strategik Puspanita Kebangsaan Siri 4/2024.

Delegasi bergambar bersama di Taman Paya Bakau Bandar Lumut.
MANJUNG, 28 November 2024 - Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), YBhg. Puan Sri Maheran binti Jamil selaku isteri kepada Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar telah menyempurnakan Program Sinergi Strategik PUSPANITA Kebangsaan siri 4/2024.
Program tersebut dimulakan dengan pemberian sumbangan 100 buah kerusi dan meja serta beg sekolah untuk digunakan oleh para pelajar dan guru di Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurul Iman, Seri Manjung, di sini.
Sumbangan tersebut adalah hasil kerjasama antara PUSPANITA Kebangsaan, PUSPANITA Cawangan Negeri Perak, PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Manjung serta TNB Janamanjung Sdn. Bhd.
Turut hadir, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Perak, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad selaku isteri kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Encik Shamsul Ridzuan bin Idris; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Manjung, Puan Fariza binti Mohamed Yusoff; Guru Besar Sekolah Rendah Agama Rakyat Nurul Iman, Ustaz Haji Abdul Aziz bin Haji Ahmad dan Pengurus Kanan Perkhidmatan Sokongan Perniagaan TNB Janamanjung Sdn. Bhd, Puan Roslinda binti Lokmannul Hakim.
Seterusnya, program diteruskan lagi ke Hospital Seri Manjung bagi menyampaikan sumbangan iaitu kipas industri (berdiri), kipas berdiri 16”, televisyen pintar, kerusi pelawat, kerusi rehat bagi penjaga pesakit dan kerusi roda bagi pesakit.
Menurut pengarahnya, YBrs. Dr. Nordin bin Nasir, pihaknya amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited untuk memberikan rawatan yang berkualiti kepada pesakit dengan menaik taraf bangunan dan perkhidmatan. Selain itu, persekitaran yang kondusif juga adalah penting untuk meningkatkan keselesaan pesakit, penjaga dan pelawat. Oleh itu, pihaknya amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak PUSPANITA dan TNB Janamanjung Sdn. Bhd,” jelasnya.
Setelah itu, YBhg. Puan Sri Maheran binti Jamil turut membuat lawatan ke Taman Paya Bakau Bandar Lumut dan Ghomah Batik Manjung bagi menambah ilmu pengetahuan mengenai Pokok Paya Bakau dan seni cetakan batik bersumberkan bahan alam semula jadi.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Puan Noorhayati binti Abdul Rahim; Pengarah Unit Landskap, MPM, Encik Rozi bin Dahalan dan Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Encik Noor Ismady bin Ahmad Radzuan.
Mengakhiri lawatan adalah sesi makan tengah hari di Restoran Horizon Garden Seri Manjung.
Sementara itu, bagi siri jelajah program ini, Perak adalah negeri keempat selepas negeri Sarawak, Kedah dan Sabah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.