Skip to main content

Perak Bentang Belanjawan 2025 Berjumlah RM1.52 Bilion.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad bergambar bersama Buku Belanjawan Negeri Perak 2025

IPOH, 29 November 2024 - Kerajaan Negeri Perak hari ini membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2025 berjumlah RM1.52 bilion yang merupakan tertinggi dalam sejarah dengan memberi tumpuan khusus membangun dan memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, penyediaan Belanjawan Negeri Perak Tahun 2025 meneruskan kesinambungan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030, Belanjawan Perak 2025 memperuntukkan sebanyak RM981.80 juta untuk belanja pembangunan manakala RM538 juta bagi belanja mengurus.

“Belanja bagi maksud mengurus yang terdiri daripada emolumen RM472.73 juta, perkhidmatan dan bekalan RM350.10 juta, pembelian aset RM16.35 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM136.42 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.20 juta.

“Ia termasuklah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pelarasan pencen Ahli Dewan Negeri.

“Belanja bagi maksud pembangunan RM538.0 juta merupakan jumlah tertinggi yang pernah Kerajaan Negeri peruntukan. Peningkatan ini adalah untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berdaya saing dan pembangunan terus dilaksanakan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan program kesejahteraan rakyat, diperuntukkan RM45.94 juta bagi tujuan mengurus peningkatan RM3.14 juta berbanding tahun ini.

“Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, sukacita saya mengumumkan, kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025.

“Ketika turun berdampingan dengan rakyat di lapangan, satu hakikat yang sering meruntun emosi ialah masih ada keluarga yang bergelut untuk memiliki tempat yang dipanggil ‘rumah’. Realitinya, rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi asas kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri mengumumkan berita gembira kepada 310 penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan, Daerah Larut, Matang dan Selama berkaitan isu pemilikan rumah yang telah berlanjutan selama 30 tahun. Sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.0 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi penyelesaian isu hakmilik strata rumah pangsa tersebut.

“Sebagai inisiatif sokongan, satu lagi skim pinjaman baik pulih rumah tanpa faedah akan dilaksanakan tahun hadapan, khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melalui dana pusingan bernilai RM3.0 juta yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Dalam usaha membangun dan memakmurkan negeri, beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan tanggungjawab menjaga setiap individu tanpa mengira latar belakang agama.

Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) diberikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM111.9 juta, dan RM12 juta disediakan bagi tujuan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) bagi tahun 2025.

“RM6 juta disediakan untuk HEBI Kaum Cina dan Kampung Baru Cina manakala RM6 juta lagi disediakan untuk HEBI Kaum India dan Kampung India serta lain-lain kaum.

“Di samping itu juga, bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200,000 bagi pelaksanaan Pelbagai Program Integrasi Nasional,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Belanjawan 2025 Perak turut dipandu oleh lima elemen visi baru Perak yang diilhamkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak dalam buku nukilan baginda bertajuk Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline and Regeneration.

“Lima elemen yang disarankan oleh baginda adalah memastikan institusi yang cekap dan telus; membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran; melabur dalam pintu masuk global; memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan dan memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan.

Dalam perkembangan sama, melalui belanjawan itu juga, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Perak.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Yang Kelima Belas, Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.