Anjuran Rimba Raid Lenggong 2024 Diteruskan Di Perak.

Barisan kerajaan bergambar bersama Buku Belanjawan 2025 Negeri Perak Darul Ridzuan
IPOH, 4 Disember 2024 - Penganjuran acara sukan permotoran lasak terpanjang di Asia, Rimba Raid Lenggong 2024 diteruskan lagi bagi tempoh dua tahun iaitu tahun 2025 dan 2026 selepas kejayaannya pada Ogos lalu.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata, pengusaha pelancongan di Lenggong dan kawasan sekitar seperti Kuala Kangsar dan Sungai Siput amat mengalu-alukan penganjuran acara-acara besar seperti Rimba Raid Lenggong 2024.
“Apabila saya bertemu dan berbincang bersama pengusaha pelancongan, memang mereka minta untuk kita adakan program sebegini dan disertakan dalam kalendar tetap supaya mereka dapat membuat persiapan sewajarnya.
“Kita juga akan mempromosikan program ini menjadi program antarabangsa dan sudah pasti bukan hanya memberi peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan tetapi juga dari kawasan sekitar seperti Kuala Kangsar dan Sungai Siput bagi menjual produk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Perak Management Berhad dengan Rimba Adventures Sdn Bhd di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Menurut Pengasas Rimba Raid, YBhg. Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan bin Nik Ahmad Hussain, Rimba Raid yang pertama di Perak telah berjaya menarik pelumba dari 26 negara antaranya Thailand, Indonesia, Singapura, Chile dan Afrika.
“Apabila Kerajaan Negeri Perak mencadangkan kepada kita untuk menganjurkan acara ini di sini, kita amat teruja kerana kita dapat lihat acara seumpama ini mendapat sambutan yang sangat positif daripada komuniti setempat dan secara tidak langsung dapat menjana ekonomi setempat.
“Oleh itu, Lenggong telah dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana ia merupakan kawasan yang kaya dengan alam semula jadi dan eko-pelancongan.
“Malah, pada tahun 2025, acara ini akan diadakan bersekali dengan sambutan Ulang Tahun ke-10 Rimba Raid dan Ulang Tahun ke-13 Pengisytiharaan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO," jelasnya.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Encik Loh Sze Yee; Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Mohamad Fitri bin Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Cik Nurmalis binti Musa; Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Encik Mohd Amzari bin Mohd Arzami dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing (M) Sdn. Bhd.
Sumber : Korporat, SUK Perak.