Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Hospital Fatimah.

Tetamu kehormat bergambar bersama

IPOH, 7 Disember 2024 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas di Hospital Fatimah, pagi ini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin serta barisan YB Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam sembah ucapan Pengarah Perubatan Hospital Fatimah, Dr. Liaw Kok Toon, pihaknya sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti kepada semua rakyat.

“Justeru itu, Hospital Fatimah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui program outsourcing services.

“Hospital ini memberi perkhidmatan Magnetic Resonance Imaging, Cardiac Computer Tomography Scan dan ultrasound kepada pesakit hospital KKM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan masa menunggu janji temu pesakit ketika ingin mendapatkan rawatan kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Hospital Fatimah, YBhg. Fr. Dato’ Michael Cheah dalam sembah ucapannya berkata, kejayaan hari ini mustahil dikecapi tanpa sokongan semua pihak.

“Pembukaan Hospital Fatimah pada 7 Disember 1974 lalu telah disempurnakan oleh Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan pada hari ini, keberangkatan DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah adalah tanda pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan komitmen serta semangat dedikasi yang telah ditonjolkan oleh para doktor, jururawat dan semua kakitangan hospital," katanya.

Mengakhiri majlis, baginda berkenan menyempurnakan lafaz dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian seterusnya ke sesi lawatan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.