Skip to main content

Majlis Graduasi Taska Genius Dibawah SUK Perak Tahun 2024.

Ucapan YBrs. Puan Nurul Jaswa binti Abd Hamid ketika majlis tersebut

IPOH, 9 Disember 2024 - Seramai 113 orang pelajar empat tahun hari ini meraikan kejayaan menamatkan sesi pembelajaran di Taska Genius.

Kejayaan itu telah diraikan sempena Majlis Graduasi Taska Genius dibawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh YBrs. Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Puan Nurul Jaswa binti Abd Hamid mewakili YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

“Saya bagi pihak pentadbiran SUK Perak merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik taska yang telah mempamerkan semangat serta dedikasi dalam mendidik anak-anak Taska Genius SUK Perak.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada anak-anak di hadapan saya ini kerana berjaya menamatkan pendidikan taska pada empat tahun.

Malah, majlis pada hari ini adalah galakan kepada anak-anak supaya dapat meneruskan menyarung jubah graduasi ini sehingga ke peringkat ijazah mahupun ke peringkat doktor falsafah,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Perak turut merancang untuk membuka Taska Genius di semua daerah di Perak mudah-mudahan semua kanak-kanak berpeluang untuk mendapat pendidikan seawal usia dua tahun.

“Kita lihat di daerah Kinta, permintaan adalah sangat tinggi sehingga kita terpaksa memberikan peluang mengikut keutamaan. Insya-Allah, pada tahun hadapan kita akan membuka sebuah lagi taska di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Muallim menjadikan keseluruhan adalah 12 buah taska," jelasnya.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan gelagat dan persembahan kanak-kanak dari umur 2 hingga 4 tahun.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah, PDT Kampar, Cik Hajah Syariza binti Datuk Haji Mohamed Odman; Penolong Pegawai Daerah PDT Kuala Kangsar, Puan Normalina binti Sabri serta penolong pegawai daerah mewakili daerah masing-masing.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 22 Mei 2025, 09:50:19.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.