Skip to main content

Yayasan Perak Rai Kecemerlangan Lebih Empat Dekad Penubuhan Dan Kerjasama Rakan Strategik.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapan perasmian di majlis berkenaan.

IPOH, 16 Disember 2024 - Yayasan Perak rai kecemerlangan sejak penubuhannya pada tahun 1979 serta menghargai kerjasama syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jabatan dan agensi serta syarikat usahasama selama lebih empat dekad sempena majlis YP Gala Dinner 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru.

“Malam ini kita berhimpun bukan sahaja untuk meraikan kecemerlangan warga Yayasan Perak, tetapi juga untuk memberikan penghargaan kepada agensi dan jabatan yang menjadi rakan strategik Yayasan Perak dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.

“Tidak lengkap untuk kita membicarakan kejayaan hari ini tanpa melihat kembali asas penubuhan Yayasan Perak pada tahun 1979.

"Dengan misi yang jelas, untuk menyediakan peluang pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan, yayasan ini telah menjadi penggerak utama dalam memperkasakan anak negeri Perak,” ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak ketika menyempurnakan majlis tersebut.

YBrs. Dr. Nasreen Khanum binti Nawab Khan, Pengurus Besar Yayasan Perak turut berkata, aspirasi Yayasan Perak adalah memenuhi agenda inisiatif menoktahkan kemiskinan dalam keluarga berpendapatan rendah dan membantu kelompok B40.

“Dalam sistem pendidikan, Program Hijrah Insaniah, YP Smart Target SPM bagi (Pelajar Straight A+) YP Eye Sinar (Bantuan Cermin Mata), Bantuan Buku Tambahan YP Didik Smart SPM adalah antara program-program baru yang diwujudkan bagi membantu murid-murid B40,” jelasnya.

Tambahnya lagi, majlis pada malam ini juga adalah manifestasi kepada penjenamaan semula organisasi yang signifikan melalui suatu perjalanan dalam mentransformasikan peranan dan fungsi Yayasan Perak agar lebih efisien dan sentiasa relevan.

Hadir sama, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri dan YB Dato’ Salbiah binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri.

Pada majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 5 orang penerima bagi tahun 2023 dan 5 orang penerima bagi tahun 2024 serta hadiah perkhidmatan lama kepada Puan Rosmimi binti Jamalani, pembantu tadbir yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan pelancaran lagu rasmi Yayasan Perak bertajuk “Bangkit Bersama”.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.