Majlis Literasi Dan Apresiasi Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri Perak 2025.
YB Pegawai Kewangan Negeri Perak menyeru kepada kepada semua agar mengekalkan momentum kecemerlangan yang dikecapi pada tahun 2024
IPOH, 7 Januari 2025 – Kerajaan Negeri Perak terus memacu kecemerlangan dalam pengurusan kewangan melalui penganjuran Majlis Literasi dan Apresiasi Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025.
YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak berkata, betapa pentingnya untuk terus memelihara dan memperkukuh momentum kecemerlangan yang telah dicapai sepanjang tahun 2024, dengan harapan agar kejayaan tersebut dapat diteruskan dan dipertingkatkan pada tahun 2025.
“Antara pencapaian yang diraikan termasuk pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri 2023, yang menjadikan Perak antara lima negeri terbaik dalam tadbir urus kewangan.
“Lebih membanggakan, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM1.37 bilion, bersamaan 107.81% daripada sasaran awal, dan pencapaian ini adalah bukti nyata komitmen penjawat awam di Negeri Perak, khususnya Pejabat Tanah dan Galian yang menyumbang hasil tertinggi sebanyak RM914.94 juta, iaitu 68.68% daripada jumlah keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Literasi dan Apresiasi Pengurusan Kewangan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YBhg. SS Dato’ Seri Hj. Wan Zahidi Bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Cik Aida Hazlyn binti Hassan, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBrs. Encik Megat Amirul Zaini Jamalullail bin Megat Jamaluddin serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.
Ujar YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin lagi, setiap Pegawai Pengawal dan Ketua Jabatan perlu memberi perhatian yang serius terhadap isu-isu berkaitan dan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam pengurusan kewangan jabatan masing-masing.
“Pengurusan perolehan dan gaji perlu segera diperbaiki, antaranya ketidaksesuaian atau kelewatan dalam menyediakan Bon Pelaksanaan, kesilapan dalam menentukan kaedah perolehan, kelewatan penyediaan dokumen kontrak, serta kegagalan dalam pelaksanaan pengiraan kenaikan pangkat yang mengakibatkan lebihan bayaran.
“Kelemahan-kelemahan ini antara lain berpunca daripada kecuaian dalam mematuhi peraturan dan prosedur, kurang teliti dalam merancang proses perolehan, serta kekurangan pemantauan dan penyeliaan yang kerap,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi penyampaian sijil apresiasi kepada jabatan, taklimat mengenai Pekeliling Bil. 1 dan 2 Tahun 2025 serta taklimat mengenai Garis Panduan Pejabat Kewangan Negeri Perak Bil. 1 hingga 7 (GP-PKN 001 hingga 007).
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.