Skip to main content

PERAK LAKSANA TRANSFORMASI DIGITAL MELALUI HARI E-TANAH.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan perasmian.

IPOH, 25 Januari 2025 – Perak terus maju dalam transformasi digital dengan penganjuran Hari e-Tanah Negeri Perak, sebuah inisiatif inovatif yang julung kali diperkenalkan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak bersama Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Perak.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, berkata matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan Sistem e-Tanah kepada rakyat.

Menurut beliau, matlamat ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan Kerajaan Digital.

“Sistem ini membolehkan urusan tanah dilaksanakan secara dalam talian, memudahkan rakyat dan menjimatkan masa.

“Kejayaan sistem ini dapat dilihat melalui peningkatan hasil kutipan tanah daripada RM606.6 juta pada 2020 kepada RM913.9 juta pada 2024, membuktikan keberkesanannya dalam mengoptimumkan pentadbiran tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini.

Turut hadir ialah YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBhg. Dato' Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak, serta ketua-ketua jabatan negeri.

Menurut YAB Dato' Seri Saarani lagi, program ini turut menyokong agenda Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam memperkasakan ekonomi digital dan mendorong penggunaan teknologi dalam kalangan kakitangan awam serta rakyat.

“Hari ini, kita juga menyaksikan pelancaran tiga inovasi baharu untuk memudahkan urusan berkaitan tanah, iaitu Sistem e-TAPS, Modul di Lapangan, dan aplikasi mudah alih e-Tanah, yang akan merevolusikan pengurusan tanah.

“Saya yakin Hari e-Tanah Negeri Perak ini akan memberi impak positif dan memastikan pentadbiran tanah terus mempamerkan prestasi cemerlang demi manfaat negeri dan rakyat secara keseluruhannya,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, sistem e-Tanah Negeri Perak adalah sistem dalam talian yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk memudahkan urusan berkaitan dengan pengurusan tanah.

Sistem ini membolehkan orang ramai mengakses pelbagai perkhidmatan seperti pendaftaran hak milik tanah, permohonan semakan status tanah, dan pelbagai urusan berkaitan tanah dengan lebih mudah dan efisien.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.