Skip to main content

Lawatan Kerja YAB Menteri Besar Perak Ke Gamuda Berhad.

YAB Menteri Besar Perak ketika mengadakan lawatan kerja di Gamuda Berhad.

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2025 – YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perak dalam lawatan kerja ke Gamuda Berhad di Menara Gamuda, Petaling Jaya, di sini.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam inovasi dan pembangunan infrastruktur, sejajar dengan aspirasi Perak untuk menjadi negeri maju dan berdaya saing dalam era digital.

Gamuda, syarikat pembinaan terkemuka yang diasaskan di Ipoh pada 1976, terus membanggakan negara dengan kejayaan di peringkat global melalui projek kejuruteraan dan teknologi berimpak tinggi.

Syarikat ini mencipta sejarah sebagai satu-satunya entiti tempatan yang dipilih membangunkan Pusat Data Google di Elmina, Shah Alam, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.

Selain itu, Gamuda turut menubuhkan Gamuda AI Academy, yang memanfaatkan teknologi Google bagi melatih tenaga kerja tempatan dalam kecerdasan buatan (AI) serta merapatkan jurang kemahiran digital negara.

Melalui lawatan kerja ini, ia memberi peluang kepada Kerajaan Negeri Perak untuk mempelajari budaya inovasi dan pendigitalan Gamuda yang berjaya melonjakkan daya saingnya dalam industri pembinaan dan teknologi di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan pemahaman strategi kejayaan syarikat ini, negeri Perak dapat meneroka pendekatan baharu dalam memperkasa inovasi, digitalisasi serta pertumbuhan sosioekonomi dan infrastruktur negeri.

Lebih bermakna, Gamuda telah menyatakan kesediaan menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan matlamat Perak Sejahtera 2030, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan lestari dan inovatif.

Hadir sama YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk); YBhg. Dato’ Lin Yun Ling, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad dan YBhg. Dato’ Azmi Bin Mat Nor, Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering.

Turut hadir, YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBrs. Dr. Maisarah binti Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR); YBrs. Encik Mohammad Effendi bin Abdul Talib, Pengarah Pembangunan Ekonomi Digital PKNPk serta wakil-wakil Gamuda Berhad.

Menambah lagi dimensi penting kepada lawatan ini, pada 5 Februari 2025, PKNPk dan Gamuda Berhad telah memeterai perjanjian pengaturan eksklusif bagi membangunkan infrastruktur air yang mampan untuk menangani masalah kekurangan air kritikal di utara Perak.

Melalui skim ini, pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Bukit Merah akan dipermudah, disertai dengan pembangunan infrastruktur moden untuk pengagihan air terawat bagi sektor pertanian dan kegunaan harian penduduk di wilayah berkenaan.

Langkah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Perak bukan sahaja komited dalam membawa inovasi ke negeri ini, tetapi juga dalam menjamin kemampanan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.