Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak Meriah Dengan Kehadiran YAB Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri ketika Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Perak.
BAGAN SERAI, 14 Mac 2025 – Hampir 2,000 orang membanjiri perkarangan Sekolah Kebangsaan Dato' Alauddin, Selinsing, di sini, hari ini bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Perak bersama YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim tiba di lokasi pada jam 6.50 petang, diiringi oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak.
Turut hadir ialah YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Pada majlis itu, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim berkesempatan menyampaikan Geran Program Sejati MADANI bernilai RM13.4 juta kepada YBrs. Encik Saidi Haji Shaari, Pegawai Daerah Kerian sebagai inisiatif memperkasakan pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.
Selain itu, beliau turut menyantuni anak-anak yatim dan menyampaikan sumbangan duit raya kepada mereka sebagai tanda prihatin terhadap golongan memerlukan.
Usai sesi tersebut, beliau berbuka puasa bersama hadirin sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Seterusnya, beliau berkesempatan melawat reruai Program Sejati MADANI, yang menampilkan pelbagai inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat melalui pelbagai sektor, termasuk keusahawanan, pendidikan, dan kebajikan sosial.
Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah mencerminkan semangat MADANI dalam memperkukuh keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Sumber : Korporat, SUK Perak.