YAB PM Pengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perak.

YAB Perdana Menteri diiringi YAB Menteri Besar Perak hadir ke Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perak
BAGAN SERAI, 14 Mac 2025 – YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perak.
Mesyuarat ini meneliti pelbagai inisiatif pembangunan, termasuk projek menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, utiliti dan pelancongan.
Fokus utama diberikan kepada Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Trong dan Pekan Kuala Sepetang, Daerah Larut, Matang dan Selama, serta pembinaan Klinik Kesihatan Baharu di Tanjung Malim, yang perlu disegerakan demi kesejahteraan rakyat.
Dalam mesyuarat itu, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim turut menekankan kepentingan perancangan tenaga kerja di setiap negeri serta memastikan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi Persekutuan bagi merealisasikan projek pembangunan secara berkesan.
Oleh itu, Kerajaan Persekutuan akan memastikan setiap projek yang memberi manfaat tinggi kepada rakyat, terutama di luar bandar, dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YBhg. Datuk Johan bin Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan; YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM); YBhg. Dato' Haji Shamshuzaman bin Sulaiman, Pengarah ICU Negeri Perak, serta ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.