Skip to main content

Perak Tuan Rumah MEXCO-STI Bil. 1 Tahun 2025.

YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika MEXCO-STI Bil.1 2025

IPOH, 28 April 2025 – Negeri Perak buat julung kalinya menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Yang Bertanggungjawab Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (MEXCO-STI) Bil. 1 Tahun 2025 yang diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menghimpunkan YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negeri-negeri, wakil-wakil Kementerian dan Negeri serta agensi-agensi di bawah MOSTI sebagai ahli mesyuarat.

Antara yang hadir adalah YB Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar; YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); YBrs. Puan Ruziah Binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI (Perancangan dan Pembudayaan Sains) serta YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Perak.

MEXCO-STI merupakan platform rasmi bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pembangunan STI antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Penubuhan mesyuarat ini adalah inisiatif MOSTI dalam usaha mengarusperdana serta memperkasa agenda STI seperti yang digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

Antara fungsi utama mesyuarat ini termasuklah menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan STI di peringkat nasional dan negeri, membincangkan isu-isu berhubung penyelarasan program serta projek berkaitan STI, selain mewujudkan perkongsian pintar antara Kerajaan Pusat dan Negeri.

Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan Negeri Perak turut membentangkan satu kertas makluman mengenai Penubuhan Terra Mineral Lab, iaitu sebuah inisiatif strategik yang bertujuan menganalisis, mengenalpasti dan menentusahkan kandungan elemen mineral, terutamanya sumber Non-Radioactive Rare Earth Elements (NR-REE) dan mineral lain yang terdapat di negeri ini.

Pembentangan telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Anuar bin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak bersama YBrs. Tuan Haji Zul Helmi bin Ghazali, Pengarah Terra Mineral Lab.

Terdahulu, para ahli mesyuarat telah melakukan sesi lawatan ke Terra Mineral Lab, di mana mereka berkesempatan melihat secara langsung fasiliti, operasi serta fungsi makmal canggih tersebut.

Diharapkan melalui penganjuran MEXCO-STI, bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Pusat dan Negeri dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, malah membuktikan kemampuan Negeri Perak untuk menjadi peneraju dalam memperkasa ekonomi berasaskan teknologi dan sumber mineral negara.

Inisiatif seperti Terra Mineral Lab menjadi bukti komitmen berterusan Perak untuk melonjakkan pembangunan teknologi mineral ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuka laluan kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.