SUK Perak Mulakan Usaha Bangunkan Pelan Strategik Organisasi 2026 – 2030.

YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bersalaman bersama peserta yang hadir.
IPOH, 28 April 2025 – Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak hari ini memulakan Bengkel Pembangunan Pelan Strategik Organisasi (PSO) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sebagai usaha merangka hala tuju pentadbiran negeri yang lebih mampan dan inklusif berpandukan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Bengkel yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru itu dihadiri seramai 50 orang peserta terdiri daripada pegawai kanan dan wakil-wakil bahagian bermula 28 April sehingga 30 April 2025.
YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dalam ucapannya berkata, pelan strategik ini bukan sekadar dokumen pentadbiran, sebaliknya merupakan komitmen bersama dalam menyokong visi Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu "Perak Makmur, Rakyat Sejahtera".
Beliau menekankan keperluan untuk memastikan PSO yang baharu selaras dengan tiga matlamat utama kesejahteraan negeri — sosial, ekonomi dan politik — serta mengambil kira lima keperluan utama rakyat, termasuk akses kepada kesihatan, pekerjaan berkualiti, bekalan makanan, perumahan mampu milik dan pembangunan modal insan.
YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim turut menekankan pentingnya pendekatan strategik dalam pengurusan sumber dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, digital dan responsif terhadap keperluan rakyat.
“Setiap bahagian perlu memberi fokus sepenuhnya agar pelan ini mencerminkan realiti semasa dan keperluan masa hadapan. Kita bukan sekadar merancang untuk jabatan — kita sedang membina masa depan negeri dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri Perak,” katanya.
Bahagian Korporat dipertanggungjawabkan untuk menerajui penyediaan pelan strategik ini dengan sokongan konsultan perancangan strategik yang berpengalaman, manakala pemantauan akan diketuai sendiri oleh YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim bersama barisan kepimpinan tertinggi SUK Perak.
Hadir sama, YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan); Puan Haslinda binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN); Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Korporat dan Encik Mohamad Nasir bin Subor, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Formates Sdn. Bhd.
Sumber : Korporat, SUK Perak.