Perak Perkasa Infrastruktur EV, Sasar 500 Lokasi.

Ketibaan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad disambut oleh para tetamu
IPOH, 2 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Perak memperkukuh langkah ke arah mobiliti hijau menerusi kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Casuarina Meru Sdn. Bhd. bagi memperluas pemasangan fasiliti pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri Perak.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak hadir menyaksikan kerjasama tersebut dimeterai dalam Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru.
Inisiatif ini dilihat sebagai permulaan penting dalam menjadikan Perak sebuah destinasi pelaburan teknologi bersih dan pelancongan mesra alam, seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Menerusi perjanjian ini, TNB memasang satu unit pengecas pantas DC 120kW dengan muncung berkembar (CCS2) dan dua unit pengecas AC 22kW di kawasan parkir utama Hotel Casuarina@Meru, lengkap dengan sistem bayaran digital dan akses 24 jam untuk kemudahan pengguna EV.
Usaha ini turut menyokong sasaran negeri Perak untuk menyediakan 500 poin pengecasan EV menjelang hujung 2025, selari dengan sasaran nasional sebanyak 10,000 pengecas di seluruh negara.
“Setakat ini, 149 poin pengecas telah disediakan di 56 lokasi di seluruh Perak, termasuk kawasan bandar, lebuh raya dan destinasi pelancongan utama.
“Ini bermaksud kita telah mencapai 29% daripada sasaran negeri, dan usaha akan terus digiatkan," ujar YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad.
Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada keperluan pelancong dan penduduk luar bandar terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut YBhg. Datuk Ir. Megat Jalaluddin bin Megat Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, sekurang-kurangnya 10 lagi lokasi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang dinilai untuk fasa pembangunan seterusnya.
"TNB melalui anak syarikatnya, telah mengambil pendekatan berkembar dalam ekosistem EV negara – sebagai pembekal elektrik dan juga pengendali pengecas (charge point operator).
"TNB kini mengendalikan lebih 80 stesen pengecas Elektron di seluruh negara, termasuk lokasi strategik seperti R&R Tapah dan Gunung Semanggol, serta beberapa cawangan AEON di Perak.
"Selain membangunkan pengecas EV, TNB turut menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui anak syarikat GSPARX, yang telah memasang sistem solar PV di Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah, menjimatkan hingga RM4,000 setahun serta mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 25 tan metrik CO₂eq – bersamaan dengan gas rumah hijau yang diserap oleh lebih 400 anak pokok dalam tempoh 10 tahun.
"Tujuh lagi masjid di Perak dijangka siap pemasangan solar tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada sasaran untuk melengkapkan 38 buah masjid di fasa ini.
"TNB juga dalam proses membangunkan projek solar terapung hibrid hidro di tiga empangan utama – Chenderoh, Temenggor dan Kenyir – sebagai satu lagi langkah strategik ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050," jelasnya.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, kerjasama ini menjadi contoh terbaik sinergi sektor awam dan swasta dalam melonjakkan Perak sebagai negeri maju yang responsif terhadap cabaran perubahan iklim dan keperluan ekonomi masa depan.
"Kerajaan Negeri akan terus bertindak sebagai pemudah cara bagi pelaburan lestari, teknologi bersih dan pembangunan kapasiti belia dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan inovasi hijau.
"Kita mahu Perak dikenali bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan mesra alam, tetapi sebagai negeri contoh dalam penyelarasan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar,” jelasnya.
Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak dan Encik Syed Omar Albar bin Syed Abdullah, Timbalan Ketua Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Kumpulan PKNP.
Sumber : Korporat, SUK Perak.