Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak.

Keberangkatan baginda disambut oleh YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu.

PARIT BUNTAR, 6 Mei 2025- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Lot 3122, Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah, PPN Perak, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.

Hadir sama, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jen. Dato' Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri Diraja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah; YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBhg Ahli-Ahli Dewan Negara Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Turut hadir, YBhg Dato’ Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz bin Haji Omar, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang; YBrs Encik Amir bin Matamin, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Encik Haji Fauzi bin Badron, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan.

Perasmian ini menandakan satu langkah strategik ke arah memperkukuh ekosistem industri padi dan beras dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Pembangunan semula pusat ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran benih padi sah yang mencukupi, berkualiti, dan mudah diakses oleh pesawah di seluruh negara.

Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak ini melibatkan peruntukan kerajaan sejumlah RM12.72 juta dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025.

Pusat ini merupakan satu daripada empat buah pusat baharu yang dibangunkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang dalam usaha memperkasa ekosistem benih padi sah negara.

Secara keseluruhan, keempat-empat pusat ini dijangka menyumbang sebanyak 28% daripada keperluan benih padi sah negara iaitu bersamaan 20,000 tan metrik setahun.

Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 1 juta beg (20kg/beg) setahun, empat buah pusat ini mampu menyokong penanaman padi seluas 142,857 hektar di seluruh negara dan menyumbang secara signifikan terhadap pengurangan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga.

YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu dalam sembah ucapan meletakkan kepercayaan dengan tertubuhnya sebuah Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah di Parit Buntar, pembangunan di daerah ini akan lebih rancak.

Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah ini bukan hanya untuk institusi Peladang, ia adalah untuk seluruh masyarakat. Beliau percaya pada kuasa kerjasama dan kepentingan menjalin hubungan kukuh dengan rakan kongsi tempatan, nasional dan global Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak ini bakal berdiri teguh sebagai pusat rujukan tempat di mana benih padi sah yang berkualiti dan memenuhi keperluan masyarakat pesawah disediakan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Rabu 14 Mei 2025, 00:57:00.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.