Skip to main content

Perak Catat Pelaburan RM1.41 Bilion Dan 2,500 Peluang Pekerjaan.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim_ YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyuddin_ YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak_ ketua jabatan negeri dan persekutuan.

IPOH, 22 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Perak melalui Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.41 bilion sepanjang tahun 2024 serta berjaya mewujudkan hampir 2,500 peluang pekerjaan baharu di negeri Perak.

Menurut satu kenyataan media oleh YBhg. Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), kejayaan ini dipacu oleh Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030 yang memberi tumpuan kepada tiga sektor utama: perkhidmatan termaju, pembuatan bernilai tinggi, dan pertanian moden.

“Salah satu inisiatif utama ialah Projek Hab Agromakanan NCER, yang bertujuan mentransformasikan sektor pertanian di Perak melalui pelaburan swasta dan penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Projek ini dijangka meningkatkan pendapatan peserta antara 20% hingga 25% melalui pengurusan harga yang stabil, akses pasaran yang lebih terjamin, dan penjimatan kos input. Selain itu, kerugian hasil pasca-tuai dijangka berkurang sehingga 50% dengan pelaksanaan sistem logistik bersepadu dan pusat pemprosesan moden,” jelasnya.

Dalam ucapan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, beliau menekankan bahawa inisiatif ini selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), khususnya dalam memperkukuh sekuriti makanan dan mentransformasikan sektor pertanian sebagai teras ekonomi baharu.

“Usaha ini juga mampu menyumbang kepada pengurangan kebergantungan negara terhadap import makanan. Sebagai contoh, Malaysia mengimport sayur-sayuran bernilai sekitar RM6.3 bilion pada tahun 2023. Pada Ogos 2024 sahaja, nilai import sayur dan buah dari rantau Asia Tenggara ke Malaysia mencecah RM178.2 juta, satu angka yang jelas memperlihatkan keperluan mendesak untuk meningkatkan pengeluaran hasil dalam negara secara serius,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Kolaborasi Strategik Bagi Kemajuan Projek Hab Agromakanan NCER yang diadakan di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Tambahnya lagi, projek ini turut membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang agroteknologi, logistik, dan pemprosesan makanan.

“Data menunjukkan bahawa antara tahun 2015 hingga 2021, permintaan terhadap pekerja mahir dalam sektor pertanian meningkat sebanyak 4.6%, manakala kebergantungan terhadap buruh tidak mahir menurun sebanyak 34%.

“Kerajaan Negeri Perak menggalakkan NCER untuk memanfaatkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan menjalin kerjasama dengan Akademi Sekuriti Makanan yang sedang dibangunkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri pertanian berteknologi tinggi,” katanya.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyuddin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; ketua jabatan negeri dan persekutuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.