Skip to main content

Majlis Kecemerlangan Dan Apresiasi Perkhidmatan Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Tahun 2024.

Penerima APC bergambar bersama tetamu kehormat

IPOH, 23 Mei 2025 – Komitmen warga kerja Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dalam memartabatkan perkhidmatan dan memelihara kedaulatan negeri diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024, yang berlangsung di Royal Perak Golf Club (RPGC).

Majlis ini menjadi platform penting dalam menghargai prestasi cemerlang serta kesetiaan anggota kerja yang telah memainkan peranan penting dalam mendukung urus tadbir organisasi serta memastikan institusi ini kekal kukuh sebagai sebahagian daripada struktur pemerintahan negeri.

Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, kepada 17 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan empat orang pesara.

Majlis turut meraikan mantan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja iaitu YDH Toh Raja Diraja Kolonel (Bersara) Dato' Abdul Rahim bin Mohamad Nor serta YDH Toh Maharaja Dewa, Dato’ Mohd Rasid bin Hussin Shah yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan secara rasmi, namun jasa dan bakti mereka akan sentiasa dikenang dan dihargai.

Selain itu, YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) turut menyampaikan Anugerah Khas Dato’ Pengelola Bijaya Diraja kepada Puan Normah binti Mokhtar.

Anugerah ini diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini untuk memberi satu pengiktirafan berprestij kepada anggota kerja yang menunjukkan prestasi luar biasa serta memberi sumbangan signifikan kepada Pejabat DYMM Sultan Perak.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), beliau menekankan bahawa tugas warga kerja di Pejabat DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan bukan hanya bersifat pentadbiran semata-mata, malah membawa tanggungjawab yang jauh lebih besar.

“Kita tidak sekadar melaksanakan tugasan harian. Kita memikul amanah penting – untuk membawa institusi ini terus dihormati, menggerakkan tradisi yang diwarisi, dan dalam masa yang sama menjaga kedaulatan negeri yang berdaulat,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan organisasi ini terletak pada nilai-nilai asas seperti kesetiaan, integriti, dan rasa tanggungjawab yang tinggi kepada negeri dan institusi.

“Kesetiaan kepada organisasi dan institusi ini merupakan kualiti yang tidak terhingga. Ia adalah sumber kestabilan dan kekuatan kita semua,” katanya.

Tambahnya lagi, warga kerja perlu sentiasa mencabar diri dan terbuka terhadap perubahan serta elakkan diri dari terperangkap dalam zon selesa supaya dapat terus maju dan kekal relevan.

“Zon selesa boleh memberi ketenangan, tetapi ia juga boleh membataskan potensi kita. Kalau mahu maju, kita perlu berani mencuba perkara baharu dan melangkah keluar dari kebiasaan.

“Kita semua memainkan peranan dalam menyokong institusi yang menjadi lambang kedaulatan negeri. Amanah ini perlu terus dijaga dengan penuh integriti dan iltizam,” jelasnya.

Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja, Dato’ Abdul Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta dan Brigedier Jeneral Norzahari Efandy bin Zakaria, Setiausaha Sulit Kanan Kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.