Kerajaan Negeri Perak Terus Perkukuh Kepimpinan Penjawat Awam Melalui HLN.

Seramai 14 orang pegawai daripada Gred 9 hingga Gred 12 (KUP) menerima surat tawaran HLN Perak.
IPOH, 26 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Perak terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan sektor awam menerusi penganjuran Program Hadiah Latihan Negeri (HLN).
Program latihan kali ini akan membawa seramai 14 orang pegawai daripada Gred 9 hingga Gred 12 (KUP) bagi menyertai kursus Leadership Programme for Evolving Public Sector Leaders: “Becoming a Strategic Leader” di Lee Kuan Yew School of Public Policy, Singapura, dari 23 hingga 26 Jun 2025.
Majlis penyerahan surat tawaran tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Perpustakaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Program kerjasama Kerajaan Negeri Perak bersama Razak School of Government (RSOG) itu bertujuan memberi penekanan kepada aspek kepimpinan strategik, pemikiran kritikal, pengurusan perubahan serta kebolehan membuat keputusan dalam persekitaran dasar yang kompleks dan mencabar.
Selain itu, ia juga membuka ruang untuk peserta menimba amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam usaha mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Turut hadir dalam majlis tersebut, YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan YBrs. Encik Mohd Azraie bin Harun, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM).
Sumber : Korporat, SUK Perak.