Pelan Digital Dan Bandar Pintar Lonjak Ekonomi Perak RM4.2 Bilion Menjelang 2030.

Ketibaan YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad disambut oleh tetamu.
IPOH, 4 Jun 2025 – Sektor ekonomi digital dijangka menyumbang sehingga RM4.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Perak menjelang 2030, susulan pelancaran dua dokumen strategik iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040.
Dokumen yang dilancarkan secara serentak itu digarap bagi mempercepatkan transformasi digital negeri dan memperkukuh kedudukan Perak sebagai negeri pintar yang inklusif, cekap dan berdaya saing tinggi. Ia turut menyasarkan 3,000 hingga 6,000 peluang pekerjaan baharu serta pendigitalan lebih 18,000 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menurut YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, pelan berkenaan bukan sekadar dokumen dasar tetapi pelan tindakan menyeluruh yang membawa pendekatan baharu kepada pembangunan negeri melalui teknologi, inovasi dan keterlibatan rakyat.
“Kita tidak mahu ketinggalan. Ekonomi digital kini menyumbang RM12 bilion kepada ekonomi negeri, dan angka itu akan terus meningkat jika kita melaksanakannya secara bersepadu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 dan Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 di Hotel Casuarina@Meru, di sini.
Pelan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital, pendigitalan pentadbiran awam, pengukuhan ekosistem perniagaan serta pemerkasaan masyarakat. Antara projek pemangkin yang dikenal pasti termasuk peluasan capaian digital di kawasan luar bandar melalui teknologi satelit orbit rendah (LEO), pembangunan sistem bayaran tanpa tunai, serta penubuhan pusat kecemerlangan seperti AI Academy dan SPRIN (Smart Perak Research and Innovation Centre).
Dalam pada itu, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad berkata Blueprint Bandar Pintar Negeri Perak 2040 pula menjadi dokumen rujukan utama bagi memastikan pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.
Ujarnya, blueprint tersebut merangkumi tujuh komponen utama iaitu Infrastruktur Digital Pintar, Tadbir Urus Pintar, Ekonomi Pintar, Rakyat Pintar, Alam Sekitar Pintar, Mobiliti Pintar dan Kehidupan Pintar.
“Dokumen ini mengandungi 22 dasar, 52 strategi dan 132 inisiatif dengan pelaksanaan berfasa bermula tahun ini hingga 2040. Pendekatan yang diterapkan juga bersifat people-centric, memberi keutamaan kepada keperluan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada empat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah berjaya mencapai status Early Adopter dalam pelaksanaan agenda bandar pintar, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Majlis Perbandaran Manjung, dan Majlis Daerah Kampar.
Tambahnya lagi, antara inisiatif pintar yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan sistem prototaip kecerdasan buatan (AI) oleh PLANMalaysia Perak yang dikenali sebagai
Sementara itu, YBhg. Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa pelaksanaan kedua-dua pelan ini turut disokong oleh projek-projek strategik seperti pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), serta Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.
“Ini bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi gerakan menyeluruh untuk membina ekosistem digital yang menyeluruh dan berdaya tahan,” katanya.
Pelaksanaan pelan ini akan diselaraskan melalui penubuhan Majlis Ekonomi Digital Negeri Perak (MEDi) yang akan memantau pelaksanaan, menjamin penyelarasan dasar serta memastikan manfaatnya dirasai seluruh rakyat Perak.
Hadir sama, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak dan YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.