Skip to main content

Kerajaan Negeri Perak Perkukuh Keupayaan Kepimpinan Penjawat Awam.

YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman menyampaikan ucapan kepada peserta program.

IPOH, 5 Jun 2025 – Kerajaan Negeri Perak terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan sektor awam menerusi penganjuran Program Hadiah Latihan Negeri (HLN).

Program latihan kali ini akan membawa seramai 30 orang pegawai kumpulan pelaksana daripada Gred 2 hingga Gred 7 bagi menyertai Program Kepimpinan Berprestasi Tinggi dan Berkesan: Pelaksanaan Agenda Perkhidmatan Cemerlang di Bandung, Indonesia dari 15 Jun hingga 21 Jun 2025.

Dalam kumpulan tersebut, ia melibatkan lapan skim perkhidmatan iaitu penghulu, penolong pegawai tanah, penolong pegawai tadbir, penolong akauntan, penolong jurutera, penolong pegawai teknologi maklumat, ketua pembantu tadbir serta ketua pembantu tadbir kewangan.

Majlis penyerahan surat tawaran tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) di Perpustakaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Program kerjasama Kerajaan Negeri Perak bersama AJM International Academy Sdn Bhd itu bertujuan memberi penekanan kepada aspek kepimpinan strategik, pemikiran kritikal, pengurusan perubahan serta kebolehan membuat keputusan dalam persekitaran dasar yang kompleks dan mencabar.

Selain itu, ia juga membuka ruang untuk peserta menimba amalan terbaik di peringkat antarabangsa dalam usaha mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Turut hadir dalam majlis tersebut, YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan Encik Mohd Azraie bin Harun, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM).

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.