Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB Sempena PMR 2025 Perak.

YBhg. Ketua Setiausaha Negara bersama para penerima Sijil Penghargaan Projek RKB.
LUMUT, 15 Jun 2025 — YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyempurnakan Penyampaian Sijil Penghargaan Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) Sempena Program MADANI Rakyat 2025 di reruai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Lumut Waterfront, di sini.
Tujuh projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang telah siap di Perak kini membuahkan pulangan bernilai RM 300 juta kepada rakyat dan perniagaan, menerusi penjimatan kos kerajaan, peningkatan hasil kutipan dan kecekapan operasi.
Dalam pada itu, 14 projek lagi sedang dilaksanakan di seluruh negeri, sebagai sebahagian inisiatif yang merupakan terjemahan nyata Deklarasi Kuala Lumpur, persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi mengurangkan kerenah birokrasi, memacu produktiviti dan memudahkan kehidupan rakyat.
Urusan rakyat yang dahulu memakan masa berhari-hari, kini dapat diselesaikan dalam beberapa minit apabila permohonan boleh dijejak terus dari rumah, sekali gus menghapuskan kos ulang-alik, mengurangkan beban pematuhan peraturan dan membebaskan masa untuk aktiviti yang lebih produktif.
Penjimatan operasi kerajaan juga dapat disalurkan kepada projek kemudahan awam, seperti pembinaan taman, klinik dan jalan yang lebih baik, demi meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Bagi peniaga, prosedur lesen dan permit yang lebih pantas turut menurunkan kos menunggu dan membantu aliran tunai syarikat.
Langkah ini membolehkan syarikat menumpukan modal dan tenaga kerja kepada aktiviti yang lebih bernilai tambah, sekali gus memacu peningkatan produktiviti dan mewujudkan iklim perniagaan yang lebih cekap, mesra pengguna dan mampu bersaing.
Hadir sama, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Dato' Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBhg. Datuk Zahid bin Ismail, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC); YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan); YBrs. Tuan Mohd Ainurridha bin Ahmad Majdi Setiausaha, Majlis Daerah Perak Tengah; YBrs. Encik Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman Yang Dipertua, Majlis Daerah Tanjong Malim dan YBrs. Encik Muhammad Faizal Shah bin Safian Suri, Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Manjung.
Sumber : Korporat, SUK Perak.