Skip to main content

YAB PM Sempurnakan Majlis Perasmian Penutupan PMR 2025 Perak.

YAB Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan perasmian.

LUMUT, 15 Jun 2025 — YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak di Lumut Waterfront, di sini.

Beliau berkata, penganjuran program seumpama ini berperanan sebagai platform penting kepada kerajaan untuk mendengar permasalahan rakyat, terutamanya apabila melibatkan isu-isu yang masih berbangkit.

“Seperti mana yang disebut oleh YAB Datuk Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, Program Madani Rakyat 2025 memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sendiri program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kadang-kadang apabila kita umum sesuatu dasar di Parlimen atau di ibu kota, rakyat mahu melihat apa angkanya dan di mana projeknya.

"Sebab itu Menteri Kabinet, Menteri Besar, kerajaan negeri malah malah penjawat awam kanan kita minta turun ke bawah, kita ada Program Sejahtera Komuniti MADANI, dimana pegawai-pegawai tahu apa perbezaan daripada ungkapan dasar dengan apa yang kita laksanakan di peringkat bawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Negeri Perak.

Hadir sama YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat; YB Senator Dato’Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara dan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Turut hadir YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Ujar YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim lagi, mendengar keluhan rakyat secara langsung seperti melalui penganjuran PMR atau sesi dialog antara pemimpin dengan rakyat amat penting bagi mendapatkan maklum balas akan perkara yang perlu diperbaiki atau ditambah baik.

"Seperti contoh ,setiap kali sebelum solat Jumaat, saya makan di warung dan apabila nampak anak-anak sekolah, saya tanya “sekolah mana, apa masalah?” Tandas rosak. Hampir pada ketika itu saya ingat tahun 2022, awal 2023 hampir semua yang beritahu saya tandas sekolah tidak diperbaiki.

"Begitu juga anak-anak di universiti bila kita pergi mana-mana, mereka mengeluh tidak ada connectivity, ada dewan kuliah, tapi tidak ada di asrama. Jadi nak ulang kaji, nak belajar tidak ada kemudahan itu dan dengan maklum balas mereka, kita sudah selesaikan, Alhamdulillah," katanya.

Negeri Perak merupakan lokasi kedua bagi penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk, dengan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju.

Pengisian program melibatkan pembukaan lebih 40 reruai kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perak, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta sektor swasta.

Antara komponen yang telah disediakan adalah sebanyak 230 perkhidmatan touchpoint rakyat, penglibatan 8 usahawan jualan MADANI,  12 majikan di Karnival Kerjaya, 75 sesi libat urus pentas, 16 program satelit dan lapan agensi perkhidmatan bergerak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.