DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Rasmi Dataran Waterfront Bagan Datuk.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan ketika melakukan gimik perasmian.
BAGAN DATUK, 17 Jun 2025 — DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan berangkat merasmikan Dataran Waterfront Bagan Datuk, di sini.
Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; dan DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YAB Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aezer binti Zubin.
Hadir sama, YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid; YABhg. Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara), Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja bersama isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; dan YB Dato' Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak bersama isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah.
Turut hadir, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad; YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan al-Quran dan doa sebelum DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak perasmian.
Usai sesi tersebut, baginda berkenan berangkat menyaksikan demonstrasi maritim oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perikanan Malaysia di Sungai Perak.
Selesai menyaksikan demonstrasi berkenaan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dan DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan turut berkenan melawat pameran berkaitan sejarah penubuhan Bagan Datuk, daerah ke-12 di negeri Perak.
Dataran Waterfront Bagan Datuk meliputi beberapa komponen projek yang telah dilaksanakan, seperti pembinaan Terminal Jeti Pelancongan Bagan Datuk, kemudahan riadah dan rekreasi, serta pemuliharaan fasad bangunan kedai dan naik taraf jalan di sekitar pekan Bagan Datuk.
Selain itu, ia turut diserikan dengan replika tempurung kelapa beserta air pancut, bangunan BD Walk, replika kapal jong termasuk set alat permainan kanak-kanak, serta informasi sejarah di bahagian dalam dan atas kapal jong tersebut.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.