Skip to main content

DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf Daerah Manjung.

Keberangkatan baginda ke majlis berkenaan.

MANJUNG, 20 Ogos 2025 - DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf Daerah Manjung yang berlangsung di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung.

Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh YTM Raja Dato' Seri Azureen binti Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Penaung Kelab Wanita Perak merangkap adinda kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

Turut sama mengiringi, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak; YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Perak merangkap isteri kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung; YBhg. Dato’ Siti Hendon Chik, Presiden Kelab Wanita Perak serta Encik Shamsul Ridzuan bin Idris, Pegawai Daerah Manjung.

Seramai 100 orang keluarga asnaf telah dipilih menerima bantuan yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Manjung bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi memastikan agihan sumbangan dilaksanakan secara lancar kepada golongan sasar.

Antara skim bantuan yang terlibat ialah bantuan kanak-kanak, bantuan am, bantuan warga emas, elaun pekerja orang kurang upaya (OKU), bantuan OKU tidak berupaya bekerja, bantuan penjagaan pesakit kronik terlantar serta bantuan penjagaan pesakit kronik tidak terlantar.

Seterusnya, baginda berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan secara simbolik kepada wakil penerima keluarga asnaf sebelum baginda berkenan bersantapan bersama para tetamu.

Majlis ini mencerminkan keprihatinan institusi diraja dan Kerajaan Negeri Perak, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, khususnya keluarga asnaf, selaras dengan agenda pembangunan negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.