Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1447H/2025M.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1447H_2025M

IPOH, 4 September 2025 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak 1447H/2025M di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim dan DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YTM Raja Kecil Sulong Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Bin Raja Ashman Shah dan YTM Datin Seri Nadia Esham Binti Esham; YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Iskandar Bin Raja Ziran @ Raja Zaid dan YTM Datin Seri Dato' Rokiah Binti Haji Ibrahim; YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Aznee binti Abu Samah serta YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad.

Turut hadir, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar bin Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk); YBhg. Dato’ Harith Fadzilah bin Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk); Orang Besar-Orang Besar Negeri Perak serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Bertemakan “Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”, majlis itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan selawat beramai-ramai ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pada majlis tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan berkenan menyampaikan Anugerah Keluarga Ammar bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada Puan Umi Kalsom binti Bahak.

Ibu kepada enam orang anak itu menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah bernilai RM9,000 beserta plak.

Sementara itu, bagi Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diberikan kepada Encik Wan Mas Indra bin Juja, manakala Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dianugerahkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Negeri Perak.

Bagi Anugerah Tokoh Imam pula diberikan kepada Tuan Haji Rosli bin Mat, manakala Anugerah Bilal dianugerahkan kepada Tuan Haji Sirat bin Abdullah, Anugerah Siak diraih oleh Encik Mat Yusoff bin Suliman dan Anugerah Khas kepada Encik Ismail bin Muhamad Zin.

Kesemua penerima anugerah masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta plak sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa serta sumbangan mereka kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.