Pasir Salak Jadi Pedoman Perjuangan Penting Bagi Generasi Kini.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapan di majlis berkenaan
PASIR SALAK, 14 September 2025 –Pasir Salak mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai lokasi bersejarah yang menyimpan kisah penentangan bangsa terhadap penjajahan, sekali gus menjadi pedoman penting untuk generasi kini memahami erti kebebasan dan tanggungjawab memelihara warisan.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian penutup Warisan@Pasir Salak 2025 di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampong Gajah, di sini.
Menurut beliau, Kompleks Sejarah Pasir Salak telah mengangkat naratif peristiwa penentangan terhadap pentadbiran Residen British J.W.W. Birch di tebing Sungai Perak hingga catatan keberanian tokoh tempatan yang akhirnya membakar kesedaran kebangsaan.
Katanya, kisah perjuangan itu perlu terus dihayati agar roh sejarah tidak terpadam ditelan zaman.
“Keistimewaan Perak Tengah pula tidak terhenti di Pasir Salak sahaja. Semangat mempertahankan warisan itu diterjemahkan oleh masyarakat setempat melalui pelancongan berasaskan komuniti yang menghubungkan nilai sejarah dengan kegiatan ekonomi harian,” ujarnya.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, inisiatif seperti bengkel labu Tanjung Bidara, tekat benang emas di Kampung Gajah, panorama kunang-kunang di Kota Setia serta dusun pelancongan di Pasir Salak menjadi simbol kreativiti rakyat tempatan.
“Inilah wajah sebenar pelancongan warisan – apabila sejarah, budaya dan ekonomi rakyat menjadi satu. Ia bukan sahaja menjana pendapatan, malah memastikan identiti budaya negeri terus segar,” jelasnya.
Program anjuran Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah itu berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu dengan pelbagai acara antaranya Bicara Warisan, Pasir Salak Berselawat, Bicara Dabus, jualan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), demonstrasi makanan tradisional dan pertandingan Ratu Kebaya Cilik.
Hadir sama, YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Encik Mohamad Muda bin B.Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara; Encik Mohd Zaki bin Abdul Rahman, Pegawai Daerah Perak Tengah; YBhg. Datin Yuzaira binti Yusuff, Pengerusi Puspanita MOTAC dan Puan Shamsina binti Abu Hasan, Pengerusi Puspanita Daerah Perak Tengah.
Dalam perkembangan yang sama, Lenggong telah menerima pengiktirafan sebagai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp) pada Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile bersempena Mesyuarat ke-10 Majlis UNESCO Global Geoparks, 7 September lepas.
Mengulas perkara tersebut, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, walaupun pengisytiharan rasmi dijangka berlangsung tahun depan, kerajaan negeri akan tetap berusaha menyalurkan sebahagian dana pembangunan meskipun berdepan kekangan kewangan.
Beliau menegaskan semakan belanjawan sedang dilakukan selain Kerajaan Negeri Perak akan mengemukakan permohonan peruntukan tambahan termasuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Walaupun duit kita terhad, tetapi, kita akan cuba bantu. Saya terima rungutan daripada pengunjung bahawa tempat penginapan di Lenggong amat kurang, sedangkan nilai kehadiran pelancong dan pendapatan peniaga semakin meningkat. Kalau ada lebih banyak penginapan, sudah tentu ia jauh lebih baik.
“Pengiktirafan ini amat bernilai kerana meletakkan Lenggong bukan sahaja lokasi penting penemuan arkeologi Perak Man, malah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Cuma kita kena sentiasa bajai dan hayati nilai ini, kalau tidak UNESCO boleh tarik balik pengiktirafan,” katanya dalam satu sesi sidang media selepas majlis penutupan berkenaan.
Mengakhiri program, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut mengadakan lawatan ke Pasir Salak Eco Resort, Terowong Masa, Rumah Kutai Tok Pelita, Rumah Tok Maharaja Lela dan Kediaman Dato’ Sagor.
Lawatan itu bertujuan bagi menilai potensi Pasir Salak sebagai destinasi warisan bersejarah dan memperkukuh peranannya dalam sektor pelancongan negeri.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.