Skip to main content

Kompleks Pentadbiran Dan Pusat Komersial Maipk Berkonsepkan Seni Bina Nusantara Melayu.

Ketibaan YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim disambut oleh pegawai MAIPk di majlis berkenaan

IPOH, 18 September 2025 – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengadakan Majlis Doa Selamat mula kerja pembinaan Kompleks Pentadbiran dan Pusat Komersial (KPPK) MAIPk, yang bakal menjadi mercu tanda baharu di bandar raya Ipoh dengan mengetengahkan identiti seni bina Melayu.

YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini, Yang Dipertua MAIPk, berkata, projek bernilai lebih RM75 juta itu akan menampilkan reka bentuk berkonsepkan seni bina Nusantara Melayu berinspirasikan rumah tradisional Perak iaitu Rumah Kutai.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha MAIPk untuk memberi nafas baharu dan menyuntik roh dalam hasrat memartabatkan seni bina warisan Melayu yang kian terpinggir dalam arus pembangunan moden.

“Pembangunan ini bukan sahaja menitikberatkan fungsi serta kemudahan moden malah turut mengangkat estetika seni warisan sebagai teras utama. Ia selaras dengan usaha memartabatkan seni bina Melayu yang semakin terpinggir dalam arus pembangunan moden.

"Pembangunan KPPK akan menjadi penanda aras baharu dalam pendekatan pembangunan yang menggabungkan tradisi dengan modenisasi, memenuhi agenda memulihara budaya dan warisan Melayu,” jelasnya dalam satu kenyataan sempena Majlis Doa Selamat Mula Kerja Pembinaan KPPK MAIPk, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh YABhg. SS Dato' Seri Haji Wan Zahidi bin Wan Teh, Mufti Negeri Perak sambil disaksikan oleh YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YBhg. Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja, Dato’ Abdul Wahab bin Dato’ Seri Azizul Hassan, Orang Besar Jajahan Kinta; YBrs. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh serta Encik Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif.

YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar bin Zaini berkata, antara ciri utama kompleks berkenaan ialah bumbung lima, ukiran kayu halus pada tiang, siling dan tingkap, tingkap dengan peneduh suria, penggunaan bahan binaan tradisional serta tona warna berinspirasikan alam semula jadi.

Jelasnya, apabila siap kelak, KPPK tersergam sebagai sebuah bangunan setinggi enam tingkat serta dilengkapi dua tingkat bawah tanah dengan kapasiti 314 lot parkir kereta dan 70 lot motosikal.

Bangunan ini terletak bersebelahan dengan Bank Islam serta Kompleks Islam Darul Ridzuan (KIDR), menjadikan kedudukannya strategik di tengah bandar raya Ipoh.

Selain ruang pejabat dan lantai komersial, kompleks berkenaan turut menempatkan satu lantai khas untuk Galeri Warisan bagi tujuan pendidikan dan pemeliharaan budaya.

Tambahnya lagi, KPPK bukan sekadar pusat urusan pentadbiran tetapi juga dirancang sebagai lokasi tarikan pelancong serta rujukan sejarah untuk generasi akan datang.

Ujarnya, konsep dan reka bentuk kompleks diterajui oleh GDP Arkitek selaku perunding utama projek dengan pembinaan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan sehingga April 2028.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.