Dialog Belanjawan 2026 Negeri Perak Himpunkan Pandangan EXCO, ADUN Dan Ketua Jabatan.
YAB Menteri Besar Perak ketika Sesi Dialog Belanjawan 2026 Negeri Perak.
IPOH, 30 September 2025 - Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan Sesi Dialog Belanjawan 2026 Negeri Perak sebagai platform perbincangan bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ketua-ketua jabatan bagi memperkukuh perancangan kewangan negeri tahun hadapan.
Program dimulakan dengan pembentangan Kajian Belanjawan 2026 Negeri Perak oleh YBrs. Encik Azizul Hakim bin Abdul Karim, Ketua Pegawai Operasi Institut Darul Ridzuan (IDR) yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai unjuran ekonomi negeri, potensi sektor pertumbuhan, kedudukan fiskal semasa serta cabaran yang perlu ditangani dalam memastikan kesinambungan pembangunan.
Sesi dialog kemudiannya dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, bersama YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak, dan YBrs. Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), bagi mendengar soalan serta isu yang dibangkitkan oleh para jemputan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, pelancongan, perumahan, pertanian serta agenda pendigitalan dalam pentadbiran negeri.
Penganjuran dialog ini mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan negeri dalam proses perancangan belanjawan, dengan memastikan suara pelbagai pihak berkepentingan diambil kira.
Input yang dikumpul daripada sesi ini akan dijadikan asas dalam penyediaan Belanjawan 2026 Negeri Perak yang lebih komprehensif, realistik dan seimbang, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negeri di samping meningkatkan daya tahan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Hadir sama, YB Dato’ Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.