Perak AgroFest 2025 Labuh Tirai, Capai Sasaran Pengunjung Dan Jualan.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
SUNGAI SIPUT, 28 September 2025 — Perak AgroFest 2025 yang melabuhkan tirainya malam ini mencatatkan kejayaan besar apabila menerima lebih 250,000 orang pengunjung sehingga tengah hari tadi dan dijangka mencecah 400,000 orang malam ini.
YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, berkata jumlah jualan pula telah merekodkan RM2.5 juta sehingga tengah hari tadi dan beliau yakin mampu mencapai sasaran RM4 juta menjelang malam ini, berikutan masih ramai pengunjung yang berpusu-pusu hadir serta adanya jualan murah sempena malam terakhir.
“Saya dimaklumkan sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi jumlah pengunjung sudah capai 250,000 orang dan kita percaya sehingga malam ini ia akan mencapai 400,000 orang seperti sasaran. Dari segi jualan pula, unjuran RM4 juta telah ditetapkan dan angka RM2.5 juta sudah dicapai.
“Dengan kehadiran pengunjung yang berterusan hari ini dan jualan murah pada malam akhir, saya yakin sasaran itu akan tercapai, insya-Allah,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak, Sungai Siput.
Mengulas lanjut, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad menyifatkan penganjuran kali ini sangat membanggakan. Katanya, daripada segi penganjuran, promosi dan sambutan masyarakat termasuk golongan muda, ia membuktikan kejayaan penganjuran kali ini.
“Hasil kerjasama semua pihak, saya sendiri teruja melihat orang datang berpusu-pusu. Malah, ada permintaan supaya ia dibuat setiap tahun, tetapi kita kekal dengan penganjuran berselang-seli dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Selepas MAHA, pada tahun 2027, kita akan kembali semula ke sini,” katanya.
Hadir sama, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak; YB Dato’ Mohd Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan dan isteri, YBhg. Datuk Zaiton binti Abd Rahman; YBrs. Encik Azrul Sani bin Ibrahim, Pegawai Daerah Kuala Kangsar serta Encik Kumaresan A/L Lingam, Timbalan Pengarah Sektoral 1, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.