Skip to main content

Kunjungan Hormat Duta Besar Republik Argentina Ke Atas YAB Menteri Besar Perak.

YB Encik Loh Sze Yee_ Encik Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria serta Encik Kumaresan A_L Lingam mengiringi PYT Marta Laura Gabrieloni.

IPOH, 24 November 2025 – YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, hari ini menerima kunjungan hormat daripada PYT Marta Laura Gabrieloni, Duta Besar Republik Argentina ke Malaysia dalam satu sesi pertemuan rasmi yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Encik Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak; Encik Mohd Zairasyahli Shah bin Zakaria, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan serta Encik Kumaresan A/L Lingam, Timbalan Pengarah Sektoral 1 Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Argentina memegang kuasa ekonomi ketiga terbesar di Amerika Latin dengan kepakaran dalam sektor pertanian, penternakan, tenaga, perlombongan lithium, industri automotif serta bioteknologi.

Negara itu kini sedang meneroka lokasi strategik untuk pengembangan pasaran di rantau ASEAN, sekali gus membuka ruang potensi kerjasama baharu bersama Perak.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan peluang kerjasama strategik dalam sektor ekonomi dan pelaburan khususnya pengeksportan daging, pemprosesan produk halal dan perlombongan yang diyakini mampu memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad turut mempromosikan keunikan industri pelancongan Perak serta destinasi ikonik yang mampu menarik perhatian pelancong dari Argentina serta memperkukuh jaringan pelancongan antarabangsa.

Kerajaan Negeri Perak berharap jalinan hubungan dua hala ini akan terus diperkukuh dan membuka peluang kerjasama baharu sebagai pemangkin kemajuan masa hadapan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 16 Januari 2026, 06:45:36.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.