Sistem Maklumat Ahli Dewan Negeri Bersepadu Mula Beroperasi Januari 2026.
Ketibaan YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad diiringi oleh YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman
IPOH, 28 November 2025 – Kerajaan Negeri Perak telah meluncurkan Sistem Maklumat Ahli Dewan Negeri (eADN), iaitu sebuah platform sistem bersepadu bagi merekod dan menguruskan maklumat Ahli Dewan Negeri (ADN) yang sedang berkhidmat dan juga yang telah bersara secara digital.
Sistem tersebut telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, berkata, sistem eADN merupakan inisiatif yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan ketepatan pengurusan data, sekali gus mempercepatkan proses permohonan rasmi melibatkan ADN, pesara ADN atau waris melalui pelaksanaan atas talian sepenuhnya.
“Pengguna sistem terdiri daripada Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan sebagai pemilik sistem, Bahagian Digital sebagai pengurusan teknikal sistem dan pengguna sistem terdiri daripada YAB Menteri Besar, Yang di-Pertua Dewan negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ADN serta pesara ADN atau waris.
“Sistem eADN menyediakan pelbagai modul antaranya Modul Maklumat Peribadi, Modul Permohonan Kemudahan Perubatan, Modul Pengecualian Cukai Jalan, Modul Borang-borang, Modul Pusat Khidmat (GIS) dan Modul Pengumuman manakala pemilik sistem boleh mengakses Modul Kenyataan Perkhidmatan, Modul Pencen dan Ganjaran, Modul Pentadbiran Sistem dan Modul Pengumuman,” jelasnya.
Tambahnya lagi, bagi menjamin integriti dan keselamatan maklumat, eADN dilengkapi kawalan akses berperingkat dalam pengurusan data, permohonan dan proses pengesahan, selaras dengan piawaian keselamatan digital semasa.
“Saya yakin dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk ADN, wakil MUBARAK dan jabatan, agensi kerajaan dalam pembangunan sistem tersebut, maka sistem yang mesra pengguna ini dapat digunapakai dengan jayanya mulai 1 Januari 2026. eADN boleh dilayari di pautan eadn.perak.gov.my,” katanya.
Turut hadir, YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak serta YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.