Skip to main content

Belgium Rangkul Kejuaraan Sulung, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Menyampaikan Piala Sultan Azlan Shah Ke-31.

Tetamu kehormat bergambar bersama

IPOH, 30 November 2025 – Belgium mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-31 selepas menewaskan India 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam tadi.

Dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sebelum menyempurnakan penyampaian trofi kemenangan kepada pasukan Belgium yang diketuai oleh Arthur Van Doren.

Turut berkenan berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen. Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor; YB Dato' Seri Mohammad Zahir bin Dato' Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Seri Aznee binti Abu Samah serta YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak bersama isteri, Datin Che Fauziah binti Ahmad.

Turut hadir, YB Dato' Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Dato' Khairudin bin Haji Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak; YBhg. Dato' Sri Subahan bin Kamal, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) serta YBhg. Dato’ Haji Mohd. Sayuti bin Abdul Samad, Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP).

Kemenangan Belgium itu hasil jaringan tunggal Thibeau Stockbroekx pada minit ke-34, sekali gus memastikan rekod tanpa kalah pasukan tersebut sepanjang kejohanan.

Ini merupakan penampilan kedua Belgium dalam PSAS selepas kali pertama menyertai edisi 2008.

India yang kali terakhir menjulang kejuaraan pada tahun 2010 terpaksa akur selepas gagal memecah benteng kukuh Belgium walaupun penjaga gol mereka, Shashikumar Mohith Honnenahalli dan Pawan Malik cemerlang menepis beberapa percubaan termasuk enam pukulan sudut penalti.

Sebelum final, aksi penentuan tempat ketiga menyaksikan New Zealand menewaskan Malaysia 6-1, sekali gus memaksa skuad Speedy Tigers menamatkan cabaran di tempat keempat.

Kanada pula meraih tempat kelima selepas menang 4-3 ke atas Korea Selatan.

Ketua jurulatih Malaysia, Sarjit Singh berkata kekalahan besar itu berpunca daripada dua gol awal yang meletakkan pasukan dalam keadaan sukar untuk bangkit semula.

“Selepas ketinggalan tiga gol, kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat mencabar. Namun pemain tetap menunjukkan komitmen tinggi,” katanya.

Selain piala kejuaraan, beberapa anugerah turut diberikan antaranya Pemain Terbaik Kejohanan (Tom Boon, Belgium), Penjaga Gol Terbaik (Vincent Vanasch, Belgium), Pemain Terbaik Perlawanan Akhir (Thibeau Stockbroekx, Belgium) serta Piala Fair Play (Piala Raja Ashman Shah) yang dimenangi Korea Selatan.

Penjaring terbanyak dimenangi oleh Sam Lane dari New Zealand dengan sembilan gol.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 16 Januari 2026, 06:45:36.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.