Skip to main content

Keharmonian Keluarga Asas Kekuatan Perkhidmatan Awam Perak

Ahli KESEDAR tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga di Lost World of Tambun.

IPOH, 4 Januari 2026 – Keharmonian institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam membentuk penjawat awam yang berintegriti serta menjaga kesejahteraan kerohanian agar penyampaian perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat.

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Keluarga Kelab Seri Perak Darul Ridzuan (KESEDAR) Tahun 2026 yang berlangsung di Lost World of Tambun, di sini.

Majlis yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu diserikan dengan kehadiran lebih 1,600 orang ahli dan keluarga KESEDAR, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan serta kesatuan yang utuh dalam kalangan warga perkhidmatan awam negeri Perak.

Hadir sama, YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak merangkap Yang Dipertua KESEDAR; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan); YBrs. Puan Hajah Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) serta ketua-ketua jabatan.

Tambah YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, beliau menegaskan bahawa penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, sebaliknya merupakan cerminan imej kerajaan di mata rakyat.

“Cara kita melayan rakyat, mendengar keluhan serta menyelesaikan urusan harian itulah yang membentuk keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

"Namun, kekuatan itu tidak lahir semata-mata daripada sistem dan dasar, tetapi daripada manusia yang menggerakkannya serta keluarga yang menjadi tunjang kestabilan emosi dan nilai integriti dalam diri mereka,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa keluarga yang harmoni dapat melahirkan penjawat awam yang penyabar, bijaksana serta berupaya membuat keputusan yang adil dan seimbang demi kepentingan negeri dan rakyat.

“Apabila hati kita tenang di rumah, kita lebih fokus di tempat kerja. Apabila fikiran teratur, keputusan yang dibuat juga lebih bijaksana. Di situlah bermulanya kekuatan sebenar seorang penjawat awam,” ujarnya.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad turut berkongsi pengalaman peribadi serta pemerhatian beliau dalam bidang pendidikan dan keibubapaan sambil menekankan konsep ‘rumahku syurgaku’ sebagai asas pembentukan sahsiah dan emosi yang seimbang dalam kalangan anak-anak.

Menurut beliau, suasana rumah yang penuh kasih sayang, komunikasi yang baik serta perhatian ibu bapa bukan sahaja membentuk anak-anak yang sejahtera, malah melahirkan generasi masa depan yang berjiwa besar.

Mengulas cabaran tahun 2026, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad mengingatkan penjawat awam agar terus melaksanakan tugas secara berhemah, mendengar dengan empati dan mengekalkan nilai kemanusiaan dalam setiap urusan, seiring dengan tuntutan rakyat serta perubahan landskap teknologi dan ekonomi yang semakin dinamik.

“Kerja itu amanah, keluarga juga amanah. Penjawat awam yang tenang emosinya dan bahagia keluarganya, insya-Allah akan memberi perkhidmatan yang lebih ikhlas dan berkualiti,” katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Rabu 21 Januari 2026, 03:45:43.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.