Skip to main content

Mesyuarat Pemantauan KPI Pengurusan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bil. 1/2026

YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) ketika mempengerusikan mesyuarat

IPOH, 18 Januari 2026 – Mesyuarat Pemantauan KPI Pengurusan di bawah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bil. 1/2026 telah diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Aras G, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 15 Januari lalu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) dan melibatkan penyertaan Ketua Jabatan serta pegawai daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Perak.

Fokus utama mesyuarat adalah bagi memantau pencapaian dan pelaksanaan 16 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pengurusan di bawah YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang merangkumi aspek pengurusan sumber manusia, kewangan, aduan awam serta penyampaian perkhidmatan seperti yang telah ditetapkan sejak tahun-tahun sebelumnya.

Antara KPI yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Pegawai Perkhidmatan Awam (MyPsyD), HRMIS, Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Pelaksanaan Tiga (3) Hari Berkursus, Tapisan Keselamatan (e-Vetting) 3.0, Pengurusan Isu Tatatertib serta Pengurusan Kuarters Kerajaan Negeri Perak.

Mesyuarat ini turut disusuli dengan Majlis Penyerahan Sijil Pencapaian KPI Pengurusan Tahun 2025 sebagai pengiktirafan kepada jabatan dan agensi yang menunjukkan pencapaian cemerlang berdasarkan sasaran KPI yang telah ditetapkan.

Sebanyak 70 jabatan dan agensi terlibat dalam majlis penyampaian sijil ini, dengan Majlis Daerah Lenggong muncul sebagai penerima sijil terbanyak apabila berjaya memperoleh enam (6) sijil bagi pencapaian KPI Pengurusan Tahun 2025.

Pencapaian tersebut merangkumi Pelaksanaan Tiga (3) Hari Berkursus, Tapisan Keselamatan (e- Vetting) 3.0, Pengurusan Amalan Nilai (SPAN), Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), Majlis Bersama Jabatan (MBJ) serta Sijil Kecemerlangan Penilaian (SPLaSK).

Penganjuran mesyuarat dan majlis pengiktirafan ini menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh tadbir urus yang cekap dan berakauntabiliti, di samping mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan awam yang berintegriti serta berorientasikan keperluan rakyat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Rabu 25 Februari 2026, 04:04:58.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.