Skip to main content

Perak Bantu Usaha Komersial Produk Kosmetik, Radiantcal Dari JMG.

Hadir sama, Puan Anita binti Amri

IPOH, 28 Januari 2026 — Kerajaan Negeri Perak akan membantu usaha membawa produk RadiantCal, inovasi berasaskan mineral oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Perak, ke pasaran.

YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) berkata demikian ketika mempengerusikan sesi lawatan Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), JMG Malaysia Perak ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Beliau berkata RadiantCal mempunyai potensi sebagai produk berasaskan sumber mineral tempatan dan seiring usaha negeri memperkukuh pembangunan industri hiliran berasaskan inovasi.

Lawatan berkenaan bertujuan memperkenalkan RadiantCal, produk kosmetik hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) JMG yang menggunakan kalsium berketulenan tinggi atau Precipitated Calcium Carbonate (PCC) daripada sumber batu kapur tempatan.

Ketibaan delegasi yang diketuai YBrs. Dr. Rohaya binti Othman, Pengarah Pusat Penyelidikan Mineral PPM, JMG Malaysia Perak disambut oleh Puan Anita binti Amri, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Korporat.

Hadir sama, Puan Nuruljaswa binti Abd Hamid, Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan.

RadiantCal telah melalui ujian makmal dan memenuhi keperluan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) serta bersedia memasuki fasa pra-komersial.

Produk itu turut menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, selain pemfailan paten pada Ogos 2024.

Produk itu telah dilancarkan secara rasmi sempena Simposium Mineral (SIMPOMIN) 2025 pada 1 Oktober 2025 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, sebelum dipromosikan di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sebagai kemuncak pencapaian, RadiantCal menerima Anugerah Khas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) 2025 serta MINDS Luminary Award pada Malaysia Inventor and Innovator Convention (MYIIC) 2025.

Terdahulu, satu lagi inovasi JMG iaitu pembuatan cat komersial sebelum ini telah merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar tahun 2023 sekali gus mengukuhkan keupayaan JMG dalam membangunkan inovasi berasaskan mineral bertaraf nasional dan antarabangsa.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 09 April 2026, 08:20:26.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.