Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 : 14 April 2026.

Ketibaan YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad disambut oleh YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid serta YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim

IPOH, 14 April 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Keberangkatan tiba baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim telah disambut oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak; YB Dato’ Seri Mohammad Zahir bin Dato’ Abdul Khalid, Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak serta YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak dan pengibaran Bendera Peribadi DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dengan iringan pancaragam terdiri daripada pasukan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Kedah yang dipimpin Inspektor Syed Mohd Izzudin bin Syed Salehudin.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kemudiannya berkenan memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 orang anggota lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am Briged (PGA) Utara Ulu Kinta dengan diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 1, Supritendan Ooi Jin Bin.

Kawalan Kehormatan Utama tersebut telah dipimpin oleh Deputi Superintenden Polis, Mohd Fatahlul Moin bin Mat Isa dan dibantu oleh Penolong Pegawai Pemerintah Baris, Asistan Superitenden Polis, Mohd Izzat bin Ayob.

Pegawai Pembawa Panji-Panji ialah Inspektor Mohd Izwan bin Mohd Salleh dan SI Baris Sub-Inspektor Aswadi bin Bohari.

Setelah itu, baginda berdua diiringi ke Kamar Diraja sebelum berangkat ke Dewan Negeri bagi menzahirkan titah perasmian baginda sempena Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 17 April 2026, 09:34:37.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.