Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Bertitah Agar Ekonomi Diperkukuh, Peralihan Tenaga Dipercepat Dan Kelestarian Alam Sekitar Dipelihara : 14 April 2026.

Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap nasib banduan yang telah menamatkan hukuman dan menekankan keperluan memberi peluang kepada mereka

IPOH, 14 April 2026 – DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bertitah kerajaan perlu memperkukuh ekonomi domestik, mempercepat peralihan kepada tenaga alternatif serta memberi perhatian serius terhadap kelestarian alam sekitar dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Menurut baginda, meskipun ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, konflik baharu di Asia Barat berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan kos logistik dan tekanan terhadap ekonomi negara.

Baginda turut bertitah, negeri Perak mencatat pelaburan berjumlah RM15.75 bilion pada tahun 2025 melibatkan 560 projek, manakala kutipan hasil negeri mencecah hampir RM1.49 bilion dengan lebihan akaun hasil disatukan selama empat tahun berturut-turut.

“Pencapaian ini membolehkan kerajaan Beta memperuntukkan RM1.61 bilion perbelanjaan negeri bagi tahun 2026, merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menegaskan kepentingan inovasi dan pendigitalan sebagai pemacu utama pembangunan negeri serta keperluan memperkukuh infrastruktur digital termasuk rangkaian 5G dan pembangunan pusat data negeri.

“Inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Kerajaan yang gagal berinovasi akan ketinggalan dan kehilangan daya saing,” titah baginda.

Menyentuh aspek kelestarian alam sekitar, baginda bertitah langkah tegas telah diambil termasuk pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna bermula 1 Mac 2026 demi memelihara kesejahteraan alam dan generasi akan datang.

Baginda turut menyambut baik usaha pemuliharaan hidupan liar termasuk penubuhan Pusat Santuari Gajah Perak di Gerik sebagai inisiatif strategik menangani konflik antara manusia dan haiwan secara berperikemanusiaan.

“Manusia dan hidupan liar perlu hidup secara simbiosis demi memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menegaskan pengurusan alam sekitar perlu diberi keutamaan termasuk langkah mitigasi perubahan iklim dan pelaksanaan projek tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana.

Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh keterjaminan makanan melalui pembangunan sektor pertanian, perikanan dan ekonomi biru secara mampan.

Selain itu, baginda menzahirkan keprihatinan terhadap nasib banduan yang telah menamatkan hukuman dan menekankan keperluan memberi peluang kepada mereka.

“Bekas banduan tidak seharusnya terus terperangkap dalam stigma masyarakat. Mereka perlu dibantu melalui latihan kemahiran dan sokongan berterusan agar dapat memulakan kehidupan baharu secara produktif,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan agar kerjasama antara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Jabatan Penjara diperkukuh dalam usaha membangunkan program pemulihan serta menyediakan dana bagi membantu banduan yang dibebaskan.

Mengulas cabaran semasa, baginda bertitah dunia kini berdepan risiko krisis tenaga global, justeru kerajaan perlu segera mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajib disegerakan,” titah baginda.

Baginda turut menyeru rakyat agar mengamalkan gaya hidup berjimat cermat serta berhemah dalam penggunaan tenaga dan sumber.

Dalam masa sama, baginda menegaskan kepentingan perpaduan rakyat dalam menghadapi cabaran global serta menggesa semua pihak supaya bekerjasama demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 17 April 2026, 09:34:37.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.