Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 : 15 Mei 2026.

Baginda berkenan bergambar bersama tetamu kehormat

IPOH, 15 Mei 2026 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Santapan Malam Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-55 Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru, di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat, DYTM Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa; DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan YTM Raja Kecil Tengah Perak Darul Ridzuan, Raja Dato' Seri Iskandar bin Raja Ziran @ Raja Zaid.

Hadir sama, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak dan isteri YABhg. Datin Seri Aezer binti Zubin; YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zahidi bin Haji Zainuddin (Bersara) dan isteri, YABhg. Toh Puan Datin Seri DiRaja Puan Sri Hajah Rasiah binti Md. Nor serta YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan isteri, YBhg. Datin Che Fauziah binti Ahmad.

Turut hadir, YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak; YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak; YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan; YBhg. Dato' Wan Hashim bin Wan Rahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia serta para wakil Jabatan Pendidikan Daerah dan para pendidik.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti dengan bacaan ayat suci Al-Quran sebelum baginda berkenan memulakan majlis santapan.

YB Puan Fadhlina binti Sidek dalam sembah ucapannya menyifatkan negeri Perak sebagai bumi bertuah yang kaya dengan tradisi ilmu, warisan intelektual serta sejarah pendidikan yang cukup besar maknanya kepada pembangunan pendidikan negara.

Beliau berkata, Perak bukan sahaja memiliki legasi pendidikan yang kukuh, malah turut melahirkan ramai tokoh pendidikan tersohor yang banyak mencorakkan landskap pendidikan tanah air.

“Perak sememangnya bumi bertuah yang kaya dengan tradisi ilmu, warisan intelektual dan sejarah pendidikan yang memberi makna besar kepada negara,” jelasnya.

Tambahnya lagi, warisan pendidikan negeri ini turut diperkukuh menerusi kewujudan institusi pendidikan berprestij seperti Sultan Idris Training College (SITC) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang dimasyhurkan sebagai “Eton of the East”.

Institusi tersebut telah melahirkan ramai tokoh pemimpin, pejuang bahasa, pendidik ulung dan intelektual yang banyak mencorakkan pemikiran bangsa serta menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan negara.

Dalam pada itu, Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 yang mengangkat tema “Guru Bitara Nadi Negara” membawa makna besar dalam mengiktiraf bidang perguruan sebagai tunjang utama pembinaan bangsa dan negara.

Beliau turut menyentuh mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang akan menjadi komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Rangka Pelan Malaysia 2026-2035 memberi penekanan kepada penguasaan ilmu, pembinaan sahsiah, penguasaan teknologi baharu termasuk Kecerdasan Buatan (AI) serta pengukuhan dwibahasa.

“Melalui Kurikulum Persekolahan 2027 yang progresif, Bahasa Melayu dan Sejarah terus diperkukuh sebagai asas identiti bangsa, di samping memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun. Segala usaha ini digerakkan dengan tekad memastikan pendidikan negara kekal relevan, progresif dan mampu membuka peluang yang saksama kepada seluruh rakyat Malaysia, agar cahaya ilmu terus menyinari masa depan bangsa,” katanya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 29 Mei 2026, 08:32:51.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.